- Iklan -
Berita

Perubahan dasar, undang-undang perlu dapatkan input pelbagai pihak, kata TPM

Fadillah Yusof berkata kerajaan hanya akan buat keputusan selepas ambil kira hasil daripada sesi libat urus pelbagai pihak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Fadillah Yusof. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Fadillah Yusof. Gambar: Bernama

Sebarang perubahan berkaitan dasar dan undang-undang kerajaan sedia ada, sama ada perlu ditambah baik, dikaji semula atau dimansuh perlu melalui proses biasa dan mendapatkan input semua pihak berkepentingan.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata keputusan hanya boleh dibuat kerajaan selepas mengambil kira hasil daripada sesi libat urus pelbagai pihak. 

“Apabila kita berbincang berhubung kait dengan dasar dan perundangan sedia ada, memang kita kena mengambil kira banyak perkara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin bertanyakan sama ada kerajaan berhasrat untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Baru-baru ini media melaporkan, Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan AUKU memandangkan akta itu masih relevan, terutamanya melibatkan urus tadbir universiti.

Dalam pada itu menjawab soalan asal Saifuddin berhubung butiran khusus reformasi Parlimen, Fadillah berkata kerajaan memandang serius agenda reformasi institusi ini dan akan mengambil tindakan yang tuntas bagi merealisasikan agenda berkenaan. 

“Kerajaan akan memastikan sebarang reformasi yang dilaksanakan ini mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Antara reformasi berkenaan ialah mewujudkan semula perkhidmatan Parlimen bagi merealisasikan hasrat pengasingan kuasa antara Badan Legislatif dan Badan Eksekutif dan meneliti untuk meminda Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

Fadillah berkata beberapa perkara dasar berhubung penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen akan dimuktamadkan sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Penambahbaikan dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] juga sedang dilaksanakan bagi memperkasakan akta tersebut dan merealisasikan visi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 untuk mewujudkan negara bebas rasuah,” katanya.