- Iklan -
Berita

Lengahkan peruntukan kawasan pembangkang tak selari prinsip Madani, kata Hadi

Presiden PAS berkata perbuatan kerajaan Madani itu juga tidak tepat dengan prinsip Islam dan demokrasi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Marang Abdul Hadi Awang. Gambar: Youtube
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Marang Abdul Hadi Awang. Gambar: Youtube

Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menegur kerajaan mengatakan tindakan melengahkan peruntukan di kawasan pembangkang dan kerajaan negeri yang dikuasainya tidak selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia Madani. 

Bahkan, kata Hadi, perbuatan itu juga tidak tepat dengan prinsip dalam agama Islam dan demokrasi. 

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Hadi menegaskan semua pihak menjadi rakyat kepada mana-mana kerajaan yang memerintah selepas tamat pilihan raya. 

"Inilah demokrasi yang betul. 

"Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri pembangkang dan rakyat pembangkang. 

"Tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan." 

Sebelum ini, beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kecewa dengan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula apabila tiada peruntukan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang dalam teks ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan.

Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pembangunan Kawasan (CDF) menyelar pembentangan belanjawan pada Jumaat minggu lalu mengatakan Anwar tidak selari dengan perjuangan reformasinya sebelum ini dan konsep Malaysia Madani.

Mengulas lanjut, Hadi berkata pemberian subsidi kepada golongan petani dan nelayan juga tidak mengubah keadaan kerana wang yang sepatutnya diterima tidak sampai ke tangan mereka. 

Katanya, perkembangan terkini menunjukkan kebanyakan penduduk di luar bandar terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera memberikan sokongan kepada PN serta parti-parti Sabah dan Sarawak. 

Katanya, meskipun Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan penduduk di kawasan bandar bagaimanapun sokongan itu tidak disertai oleh orang Melayu. 

"Justeru, tindakan kerajaan PH yang membelakangi kawasan PN, Sabah dan Sarawak tidak mampu mengubah keadaan PN. 

"PN yang mengambil alih kerajaan dalam masa yang singkat ketika bencana wabak dapat menunjukkan sedikit perubahan."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.