- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Kapar mohon maaf berhubung Menu Rahmah

Ia selepas kenyataannya di Dewan Rakyat sebelum ini mengelirukan dan disalah erti.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja membungkus makanan ke dalam beg plastik untuk dijual di bawah program Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan.
Pekerja membungkus makanan ke dalam beg plastik untuk dijual di bawah program Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan.

Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali hari ini memohon maaf berikutan kenyataan beliau berhubung Menu Rahmah di Dewan Rakyat sebelum ini mengelirukan dan disalah erti. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional mencuri tumpuan apabila menyampaikan pernyataan maaf dalam bentuk gurindam sebelum sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 bermula.

"Kalau ada jarum peniti, jangan disimpan di dalam peti, andai ada ucapan disalah erti, saya menyusun 10 jari, niat di hati suara rakyat saya juarai, semak imbang kerajaan Madani, biar integriti, bukankah itu peranan hakiki.

"Selaku wakil rakyat, suara rakyat yang diwakili, sudi kiranya rujuk penyata rasmi muka surat 134 hingga 137 pada 14 Februari," katanya.

Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) sebelum ini membangkitkan isu berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12), susulan kenyataan yang dibuat Halimah pada 14 Februari lepas ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang mengaitkan Menu Rahmah dengan beberapa penyakit terutamanya kanser, autoimmune (diseases) dan autisme. 

Dr Kelvin berkata kenyataan tersebut tidak benar, tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja tidak berdasarkan fakta dan sains, tetapi mungkin mengakibatkan salah faham atau stigma kepada komuniti autisme dan golongan orang kurang upaya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata pernyataan yang dibacakan Dr Halimah berkenaan dipersetujui antara beliau dengan Dr Halimah dan menganggap kes berkenaan selesai.