- Iklan -
Berita

Penyelidik dakwa SPRM tawar RM10 juta kepada Wan Saiful ditahan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata lelaki itu ditahan bagi disiasat mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berucap dalam sidang media mengenai kejayaan Ops Tropicana membongkar sindiket penipuan pelaburan dalam talian di Putrajaya, 23 Februari.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berucap dalam sidang media mengenai kejayaan Ops Tropicana membongkar sindiket penipuan pelaburan dalam talian di Putrajaya, 23 Februari.

Seorang pegawai penyelidik yang membuat dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, ditahan SPRM semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam sidang media mengenai kejayaan Ops Tropicana membongkar sindiket penipuan pelaburan dalam talian di Putrajaya hari ini berkata lelaki itu ditahan bagi disiasat mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.

Menurutnya, lelaki itu ditahan selepas diminta hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 3.30 petang semalam untuk memberi keterangan.

Lelaki itu dikatakan mendakwa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai  bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Azam berkata walaupun permohonan maaf telah dibuat oleh lelaki berkenaan di laman media sosialnya, namun secara peribadi beliau tidak dapat mengampunkannya kerana ia telah merosakkan reputasi SPRM dengan tuduhan liar. 

"Akibat daripada kenyataan beliau itu menimbulkan satu spekulasi amat tidak baik kepada SPRM dan benda ini tidak boleh dipadamkan. Mana-mana masih percaya wujudnya perkara ini. Jadi minta maaf itu saya rasa satu perkara yang sengaja dipermain-mainkan," kata Azam.

Azam turut menegaskan bahawa suruhanjaya itu menjalankan tugas secara profesional bergantung kepada aduan dan maklumat yang diterima tanpa menjadi alat untuk mana-mana parti politik.

“Kami bukan alat untuk mana-mana parti politik, kami menjalankan siasatan berdasarkan maklumat yang ada. Tiada siasatan terpilih atau pendakwaan terpilih dalam isu ini," katanya.

Mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2021 yang dikeluarkan pada 16 Februari lepas yang mendedahkan ketirisan beberapa kementerian dan jabatan, Azam berkata bahagian siasatan SPRM meneliti laporan tersebut dan sekiranya mendapati ada isu maka kertas siasatan akan dibuka.

Beliau berkata laporan audit menjadi perhatian SPRM setiap kali diumumkan Jabatan Audit Negara dan tugas suruhanjaya itu adalah untuk melihat kepada isu-isu jenayah walaupun laporan berkenaan menyebut tentang ketidakpatuhan.