- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen DAP cadang tukar kod pakaian penjawat awam

Cadangan Wong Shu Qi itu bagaimanapun tidak dijawab menteri perubahan iklim Nik Nazmi, manakala speaker Dewan Rakyat tegaskan topik itu sesuai sekadar dirujuk kepadanya sahaja.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen DAP Kluang Wong Shu Qi. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen DAP Kluang Wong Shu Qi. Gambar: Facebook

Seorang ahli Parlimen kerajaan dari DAP mencadangkan kod pakaian penjawat awam ditukar bagi menangani isu perubahan iklim. 

Ketika mencelah pergulungan Titah Diraja oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Wong Shu Qi (PH-Kluang) berkata gaya pemakaian rata-rata penjawat awam yang mengenakan kot, blazer dan tali leher tidak sesuai dengan iklim tropikal negara.

Katanya, keadaan di luar pejabat sangat panas tetapi keadaan di dalam pejabat pula terlalu sejuk sehingga mereka terpaksa memakai kot, blazer dan tali leher.

Katanya, disebabkan tidak tahan dengan kesejukan, akhirnya penjawat awam akan keluar dari pejabat untuk makan tengah hari dan membuka semua pakaian-pakaian tersebut kerana keadaan yang panas di luar.

“Apabila masuk (pejabat) pula semua nak pakai balik blazer dan tali leher. Dan semua akan minta turunkan suhu dalam bilik kerana panas. Sampaikan suhu yang sangat rendah (untuk sejukkan pejabat).

“Tapi sebenarnya ini tidak mesra alam sekitar kita. Kita akan terpaksa guna banyak tenaga elektrik untuk suhu direndahkan. 

“Sebab itu saya minta ‘goverment lead’ dalam usaha mengatasi masalah perubahan iklim supaya kod pakaian kerajaan diubah sesuai untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Tiada respon balas daripada menteri perubahan iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Manakala Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pula tidak berminat untuk meneruskan celahan tersebut dan menegaskan topik itu sesuai sekadar dirujuk kepada beliau bukannya dibawa ke dalam Parlimen.  

“Itu isu lain, jumpa dengan saya pun boleh,” katanya ringkas.