- Iklan -
Berita

Buat ketetapan pemimpin kerajaan terkait kes rasuah dibenar bertugas atau tidak, kata Takiyuddin

Ahli Parlimen Kota Bharu ulangi gesaan supaya anggota kerajaan, termasuk TPM Zahid, yang ada kes mahkamah ambil cuti sehingga kes mahkamah selesai.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan (kiri), 19 Disember 2022.
Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan (kiri), 19 Disember 2022.

Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan menyeru supaya kerajaan membuat ketetapan anggota pentadbiran yang mempunyai kes mahkamah dibenar menjalankan tugas-tugas menguruskan kerajaan dan negara.

Setiausaha agung PAS itu merujuk kepada lantikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kembali menjawat jawatan timbalan perdana menteri.

Menurut Takiyuddin, Zahid yang kini berada di kedudukan nombor dua teratas dalam pentadbiran kerajaan masih dibenarkan memegang jawatan walaupun mempunyai kes mahkamah.

Perkembangan itu juga, katanya meletakkan pegawai-pegawai perundangan dan kehakiman di keadaan yang amat sukar kerana perbicaraan melibatkan timbalan perdana menteri.

"Seorang timbalan perdana menteri berdepan kes mahkamah adalah keadaan yang tersalah arah kepada pegawai-pegawai kehakiman.

“Saya ingin merujuk satu petikan ketika Bagan Datuk mula-mula didakwa di mahkamah pada tahun 2018, Pemuda Umno membuat satu kenyataan gesa Zahid cuti seketika. Ini gesaan parti beliau sendiri,” katanya dalam ucapan membahas Titah Diraja di Parlimen hari ini.

Dengan memetik laporan berita pada tahun 2018, katanya, gesaan Pemuda Umno itu bukan bermaksud beliau sudah didapati bersalah sebaliknya memberikan ruang dan masa agar Zahid boleh memfokuskan diri kepada kes mahkamah sekaligus membersihkan nama baiknya.

Dalam hal itu, Takiyuddin menegaskan ahli-ahli Parlimen di blok pembangkang mahu kerajaan membuat ketetapan supaya anggota pentadbiran yang mempunyai kes mahkamah mengambil cuti sehingga kes mahkamah selesai.

Tambahnya, cadangan itu bukannya baru malah pernah dicadangkan oleh MCA Pulau Pinang terhadap Lim Guan Eng (Bagan) supaya cuti sementara sehingga kes rasuah beliau selesai.

Perbahasan Takiyuddin kemudiannya terganggu oleh celahan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (2) di mana ahli dewan tidak boleh mengatakan apa-apa perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah.

“Berbahaslah. Dan Bagan Datuk pun belum lagi didapati bersalah,” katanya.

Kenyataan tersebut kemudian disahut oleh ahli-ahli pembangkang mengatakan Rayer sudah berubah sejak bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.

“Dulu cakap lain, sekarang cakap lain ya Jelutong,” kata Takiyuddin.

Terdahulu, prosiding bela diri Zahid terhadap kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi dijadualkan akan berlangsung pada 10 April ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah menetapkan perbicaraan presiden Umno itu dijalankan selama 27 hari, iaitu lima bulan berturut-turut bermula April hingga Ogos depan.