- Iklan -
Berita

Shahidan cadang larang guna ‘sumber tak bernama’ dalam laporan media

Cara itu bertujuan supaya mengelakkan daripada salah laporan oleh pihak media, kata ahli Parlimen Arau.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Arau Shahidan Kassim.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Arau Shahidan Kassim.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mencadangkan supaya kerajaan melarang laporan berita yang menggunakan sumber tidak bernama atau tidak mendedahkan identiti dalam siaran berita mereka. 

Beliau menegaskan, cara itu bertujuan supaya mengelakkan daripada salah laporan oleh pihak media. 

Katanya, beliau mengesan beberapa pihak termasuk menteri yang menjadi sumber kepada artikel media tetapi enggan namanya dipetik sedangkan fakta yang diberikan adalah betul dan tepat. 

“Perkataan sumber ini adakah akan dipastikan supaya tak ada pemberitaan sumber tapi mengikut (identiti) sebenarnya?” soal Shahidan kepada Menteri Komunikasi dan Digitial Fahmi Fadzil dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. 

Fahmi menjawab, pihak pemberita perlu sendiri mencari keseimbangan dalam melaporkan berita yang melibatkan sumber yang enggan didedahkan identiti mereka. 

Bagaimanapun, beliau maklum dan memahami bahawa pihak media dan pemberita mempunyai hak tertentu dalam menjalankan tugasan. 

"Kita juga ambil maklum ada kalangan wartawan, mereka ada hak untuk memastikan keselamatan identiti sumber mereka tapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah," katanya.