- Iklan -
Berita

MCMC jumpa Awesome TV berhubung laporan penjawat awam dikurangkan

Fahmi Fadzil berkata beliau difahamkan Awesome TV melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengadakan pertemuan dengan saluran televisyen tempatan, Awesome TV hari ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau difahamkan Awesome TV melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Awesome TV ini melakukan pelanggaran sebanyak enam kali, termasuk semasa (pentadbiran kerajaan) sebelum ini sebanyak lima kali.

“Jadi pada 12.30 (tengah hari) ini MCMC akan berjumpa dengan Awesome TV untuk bincang kerana pelanggaran-pelanggaran ini berlaku waima di pentadbiran sebelum ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu pendirian dan syarat kementerian mengenai penggunaan sumber dalam penerbitan berita.

Fahmi berkata penggunaan sumber dalam laporan berita perlu diseimbangkan bagi mengelak fitnah. 

“Kita ambil maklum dalam kalangan wartawan mereka ada hak untuk memastikan keselamatan identiti sumber mereka tetapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah.

“Jadi, kita perlu ada keseimbangan dan mungkin (pertemuan) ini bersifat perbincangan di antara pengamal media dan pihak berkuasa untuk cari titik temu bagi perkara tersebut,” katanya.

Menjawab soalan asal Shahidan sama ada kementerian berhasrat untuk mengkaji semula akta berkaitan kebebasan media bagi menangani masalah pemberita yang tidak beretika dan jujur, Fahmi berkata kementerian mempunyai perancangan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Beliau berkata ia bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara atau kebebasan media, sebaliknya bagi memantapkan kerangka kerja kawal selia berkaitan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian.

“Wartawan seharusnya berpegang teguh kepada prinsip dan etika kewartawanan dengan hanya melaporkan berita yang tepat dan sahih selaras peruntukan undang-undang. Sebarang siaran maklumat yang tidak benar perlulah diperbetulkan segera dengan pemakluman kesilapan tersebut (errata),” katanya.