- Iklan -
Berita

Dr Mahathir jelaskan mengapa Melayu dominasi perkhidmatan awam

Ramasamy harus bandingkan dasar kerajaan dengan syarikat-syarikat swasta, kata bekas PM.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad tampil menjelaskan mengapa kaum Melayu mendominasi penjawat awam selepas pemimpin DAP, P Ramasamy menuduh situasi itu diadakan semasa zaman pentadbiran beliau.

Mahathir berkata, ketika rundingan kemerdekaan, kerajaan menyedari orang Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum Cina selepas merdeka. 

"Kita khuatir tentang masa depan orang Melayu kerana kita sedar mereka tidak mampu bersaing dengan orang Cina. Sebab itu ditentukan bagi jawatan tertinggi, empat orang Melayu (diberikan tempat), kemudian orang bukan Melayu,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Sementara ada dasar yang memberi keutamaan pada orang Melayu, secara tidak langsung orang Cina tidak memberi tempat langsung kepada orang Melayu (dalam sektor swasta).”

Ramasamy yang juga timbalan ketua menteri II Pulau Pinang dalam satu kenyataan sebelum ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecahkan dominasi orang Melayu dalam penjawat awam yang didakwanya merupakan dasar semasa era pemerintahan Mahathir.

"Hujah lama yang memihak kepada penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam bagi mengimbangi penguasaan ekonomi Cina tidak boleh lagi diguna pakai," menurut Ramasamy.

Mahathir menjelaskan, sekiranya kerajaan tidak memberikan ruang kepada orang Melayu, mereka tidak akan mampu bersaing.

“Kalau orang Cina tak bagi tempat, kerajaan pun tak bagi tempat, orang Melayu hendak pergi mana?" katanya.

Menurut Mahathir, perkara itu sudah ditentukan sebelum beliau menjadi perdana menteri lagi.

Dalam kenyataan sebelum ini, Ramasamy berkata, ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mereformasikan penjawat awam oleh kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan itu menerima reaksi balas yang negatif termasuk daripada pemimpin PH sendiri. 

Anwar dalam responsnya berkata, ia merupakan pandangan peribadi Ramasamy dan tidak mewakili pendirian DAP, manakala Pemuda PKR Pulau Pinang mendesak DAP memecat Ramasamy.

Rakan komponen PH dalam kerajaan, Umno turut menyelar kenyataan yang dibuat oleh Ramasamy itu. 

Sementara Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) berkata, lantikan kakitangan sektor perkhidmatan awam dilaksanakan berdasarkan merit dan kompetensi calon tanpa kuota kaum, seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Kali terakhir pemimpin DAP membangkitkan perkara itu ialah pada tahun lepas, yang mana Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa kerajaan menangani ketidakseimbangan antara kaum dalam perkhidmatan awam. 

Sebagai respons, menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu, Abdul Latiff Ahmad memaklumkan, setakat Julai 2022, 90% daripada 1.2 juta penjawat awam terdiri daripada kaum Bumiputera. 

Daripada jumlah itu, 80% adalah Melayu manakala bakinya terdiri daripada Bumiputera Sabah, Sarawak dan Orang Asli. 

Ramasamy pada Khamis berkata mahu menyaman dua portal berita yang menurutnya telah memutarbelitkan kenyataan asal beliau.

Mahathir yang juga bekas ahli Parlimen Langkawi berkata, Ramasamy harus membandingkan dasar kerajaan dengan syarikat-syarikat swasta. 

"Bukanlah orang Melayu yang halang mereka (bukan Melayu) masuk kerajaan, tetapi mereka juga menghalang orang Melayu menyertai syarikat swasta dengan lebih ketat lagi. 

“Itu mereka tidak sebut,” katanya.