- Iklan -
Berita

Kerajaan Negeri Sembilan pertahan langkah tukar nama jalan sempena pengasas DAP

Nama Jalan Dr Chen Man Hin mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak, menyifatkan ia sebagai tindakan untuk mengangkat ideologi DAP yang memperjuangkan fahaman sekular.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pengasas dan bekas penasihat seumur hidup DAP mendiang Chen Man Hin. Gambar: Facebook
Pengasas dan bekas penasihat seumur hidup DAP mendiang Chen Man Hin. Gambar: Facebook

Dua exco kerajaan Negeri Sembilan mempertahankan keputusan kerajaan negeri menjenamakan semula Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin bersempena nama Chen Man Hin, yang juga pengasas DAP, dalam satu mesyuarat exco baru-baru ini. 

Bakri Sawir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klewang berkata bantahan terhadap penjenamaan semula jalan tersebut tidak sepatutnya menjadi isu yang besar. 

Katanya, tidak seharusnya mengaitkan sejarah lama dan latar belakang seseorang tokoh yang turut menyumbang jasa kepada masyarakat negeri itu. 

"Kenapa nak dikaitkan dengan cerita-cerita lama kan? Pengasas komunis dan sebagainya," katanya kepada MalaysiaNow.

"Kenapa nak dikaitkan sebegitu kerana sekarang ini kerajaan China pun berhubungan dengan Malaysia. 

"Jadi kenapa nama komunis itu nak disebut dalam Malaysia?"

Katanya, di peringkat kerajaan negeri akan sentiasa mempertimbangkan sebarang cadangan pertukaran nama jalan atau sesuatu tempat selepas dinilai secara bersama barisan exco. 

"Itu biasa di mana-mana tempat (negeri) pun. 

"Prosedur itu kita bincang di peringkat kerajaan negeri, kemudian kita persembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk perkenan. 

"Dan Tuanku juga sudah perkenan," katanya. 

Pada 15 Februari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengumumkan dua nama jalan utama di Negeri Sembilan ditukar kepada nama tokoh yang banyak berjasa di negeri itu.

Jalan Sikamat ditukar menjadi Jalan Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad yang juga bekas mufti Negeri Sembilan.

Jalan Temiang pula ditukar menjadi Jalan Dr Chen Man Hin. 

Katanya, jalan itu bagi memperingati jasa mendiang yang merupakan pengasas sebelum menjadi pengerusi dan penasihat seumur hidup DAP ketika hayatnya.

Manakala Murtadza memegang jawatan mufti Negeri Sembilan antara 1987 sehingga 2008, berjasa dalam mewujudkan Enakmen Murtad pada 2004 dan Enakmen Kawalan Tarekat pada 2007 yang menjadikannya sebagai negeri yang pertama mewujudkan kedua-dua enakmen berkenaan.

Dr Chen Man Hin (kiri) bersama pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan lain-lain sewaktu virus Nipah merebak di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
Dr Chen Man Hin (kiri) bersama pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan lain-lain sewaktu virus Nipah merebak di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Perkembangan terbaru di negeri itu mencetuskan rasa tidak puas hati dan bantahan beberapa pihak yang mengatakan lebih ramai tokoh yang lebih layak mendapat pengiktirafan tersebut. 

Selain itu, ada juga menyifatkan pertukaran nama jalan itu sebagai salah satu tindakan populis untuk menormalisasikan dan mempromosi ideologi DAP memperjuangkan fahaman sekular di Malaysia.

Usaha untuk mendapatkan pendapat bekas menteri besar negeri Mohamad Hasan berhubung keputusan tersebut bagaimanapun tidak berhasil apabila tiada maklum balas diberikan. 

Mengulas lanjut, Bakri berkata, secara peribadinya tiada nilai yang salah dalam keputusan tersebut meskipun diadakan bantahan oleh beberapa pihak. 

Katanya, sesiapa sahaja mempunyai hak untuk membantah dan menyuarakan pandangan masing-masing berhubung perkara tersebut. 

"Kita melihat dari satu sudut, orang lain melihat satu sudut. Ianya tak boleh satu sudut sahaja. 

"Kita terima pandangan semuanya jadi tak perlulah diperbesar-besarkan isu yang bagi saya tak jadi isu pun."

Sementara itu, exco S Veerapan yang juga Adun Repah memberitahu perkhidmatan Chen sebagai doktor yang banyak membantu masyarakat negeri itu menjadikannya sebagai tokoh yang layak mendapat pengiktirafan sedemikian. 

"Beliau memberikan perkhidmatan percuma kepada penduduk di Negeri Sembilan yang pergi ke kliniknya atau sesiapa yang melawat klinik beliau," katanya kepada MalaysiaNow. 

Atas sebab itu, kerajaan negeri berpandangan sudah tiba masanya untuk memberikan penghargaan kepada tokoh tersebut kerana banyak membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama. 

Chen meninggal dunia di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan, Ogos tahun lalu pada usia 97 tahun.

Beliau merupakan penasihat seumur hidup DAP dan bekas ahli Parlimen dan Adun.