- Iklan -
Berita

Masa depan Muda jika tinggalkan kerajaan PH-BN

Selepas tidak mendapat layanan mesra parti kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, Muda perlu pertimbang langkah lebih strategik, bina kembali pengaruh, hala tuju dan kerjasama politik baharu, kata penyelidik.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Muda dan Perikatan Nasional berkibar ketika kempen PRN Johor pada Mac tahun lepas. Gambar: Bernama
Bendera Muda dan Perikatan Nasional berkibar ketika kempen PRN Johor pada Mac tahun lepas. Gambar: Bernama

Terdapat usaha dan gerakan untuk keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) oleh Muda selepas beberapa siri layanan "kurang mesra" gabungan itu terhadap pemimpin dan perwakilannya, kata sumber. 

Sumber yang dekat dengan parti itu berkata pimpinan dan pihak dalaman Muda sudah lama bersabar dan "berasa hati" dengan sikap endah tak endah kerajaan terutamanya PH terhadap mereka. 

Paling terbaru, kebimbangan mereka tentang perbincangan agihan kerusi-kerusi parti berdepan pilihan raya di enam buah negeri tidak akan melibatkan Muda.

Pada awal Februari, Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi dilaporkan tidak berpuas hati apabila parti itu tidak dipanggil ke mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat Umno. 

Bukan sahaja tidak dijemput, Amir juga mendakwa pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai pertemuan tersebut. 

Bagaimanapun, sumber itu mengesahkan terdapat beberapa konflik dan alasan tidak logik berlaku disebalik penjelasan yang dibuat oleh PH kepada Muda. 

"Anwar kata Muda dijemput di peringkat jawatankuasa sahaja. Bukan mesyuarat utama (sekreteriat). 

"Kedua, Saifuddin Nasution sidai SUA (setiausaha agung) Muda bila dah ditetapkan mesyuarat nak bincang tentang Muda dan PH.

"SUA dah sampai pejabat Saifuddin, tahu-tahu tiada mesyuarat pula," kata sumber itu kepada MalaysiaNow. 

Selain itu katanya, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memaklumkan parti dengan tiga kerusi sahaja dijemput hadir ke mesyuarat tersebut. 

"Tapi parti lain yang mempunyai satu kerusi seperti MCA, MIC, PBM (Parti Bangsa Malaysia) semua dijemput." 

Susulan kejadian itu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim mempelawa Muda dengan mengatakan parti lain yang menyokong kerajaan perpaduan akan dijemput menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan dalam mesyuarat pertama sekretariat itu pada 7 Februari lepas.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata pihaknya menyambut baik pelawaan itu tetapi memerlukan masa untuk perbincangan lanjut.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (lima dari kanan) bersama pimpinan dan anggota Muda. Gambar: Bernama
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (lima dari kanan) bersama pimpinan dan anggota Muda. Gambar: Bernama

Mampukah Muda hidup tanpa PH? 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gelombang pengundi muda dan Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) menyebabkan Muda hanya menang satu kerusi Parlimen.

Ini menimbulkan persoalan, sekiranya Muda keluar daripada segala bentuk kerjasama dengan PH, adakah ianya mampu untuk selamat dan bergerak maju dalam perjalanan politik? 

Ketua penyelidik di O2 Research Malaysia Anis Anwar Suhaimi berkata, sekiranya gelombang pengundi muda dalam PRN akan datang menunjukkan pola undi yang sama seperti PRU15 berserta dengan layanan kurang mesra oleh PH, maka Muda wajar mempertimbangkan langkah politik yang strategik. 

Ini bagi membolehkan mereka membina kembali pengaruh terlebih dahulu serta memikirkan hala tuju dan kerjasama politik baharu dalam membawa agenda mereka.

"Buat masa ini, sukar untuk Muda meninggalkan PH memandangkan mereka berkongsi kolam pengundi yang sama," katanya kepada MalaysiaNow. 

Tambahnya, dalam situasi Muda bukan sebahagian daripada komponen PH dan setiap parti gabungan kerajaan yang lain juga memiliki sayap belia masing-masing, parti itu perlu berusaha mencari kekuatan baru dan keunikan untuk ditawarkan dalam kerajaan gabungan tersebut.

"Rundingan kerusi kepada parti Muda perlu dipakejkan dengan bukti dan keyakinan bahawa mereka turut mampu menyumbang kepada kerajaan gabungan hari ini."