- Iklan -
Berita

Zahid fail semakan mahkamah tolak permohonan dapatkan pasport secara kekal

Peguam Aiman Abdul Rahman mewakili Zahid mengesahkan mengenai permohonan itu dan memaklumkan semasa pengurusan kes hari ini secara dalam talian.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal, bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

Pada 3 Februari lalu, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Zahid, memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkamah, setelah segala urusan permohonan diplomatik selesai.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Peguam Aiman Abdul Rahman mewakili Zahid ketika dihubungi, mengesahkan mengenai permohonan itu dan memaklumkan semasa pengurusan kes hari ini secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron, mahkamah menetapkan 27 Mac untuk pendengaran permohonan tersebut.

Prosiding hari ini turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob. 

Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 13 Februari, Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya pasport tersebut dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

Menerusi afidavit sokongan, Zahid berkata hakim Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

“Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk saya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

“Oleh itu, wajar bagi Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara, yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat Malaysia,” katanya.

Zahid menyatakan bahawa permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak, kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan.