- Iklan -
Berita

Ringgit terus menyusut berbanding dolar AS pada sesi awal

Matawang tempatan susut kepada 4.4245/4290 berbanding dolar AS yang berada di paras 4.4020/4060 sewaktu urus niaga berakhir semalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kementerian sentiasa berusaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.
Kementerian sentiasa berusaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.

Ringgit meneruskan penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu urus niaga dibuka hari ini susulan minat belian bagi dolar AS yang terus meningkat.

Penganalisis berkata pengukuhan dolar AS itu dipacu oleh data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS yang lebih baik serta spekulasi bahawa Rizab Persekutuan AS akan bertindak mengetatkan pertumbuhan kadar faedah lebih cepat daripada jangkaan awal.

Pada 9 pagi ini, ringgit susut kepada 4.4245/4290 berbanding dolar AS yang berada di paras 4.4020/4060 sewaktu urus niaga berakhir semalam.

Menurut laporan, IHPR AS yang mengukur harga dikenakan oleh pembekal ke atas perniagaan, telah meningkat sebanyak enam peratus tahun ke tahun pada Januari 2023.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pengumuman data IHPR semalam hanya mengesahkan lagi kemungkinan kenaikan kadar faedah bagi tempoh lebih lama.

“Susulan itu, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS juga kian meningkat, sekali gus menambah tekanan terhadap aset yang melibatkan tempoh panjang. Perkembangan antara inflasi yang tinggi serta kebimbangan mengenai kemungkinan lebih banyak kenaikan kadar faedah, menyebabkan saham-saham AS terus diasak tekanan.

“Biarpun keadaan ini menjadi dorongan positif untuk dolar AS dengan peningkatan hasil dan saham yang rendah, haluan di masa depan juga bergantung kepada reaksi Fed terhadap perkembangan itu. Jika kemelesetan mulai ketara, saya menjangkakan dolar AS akan terjejas dan pada masa ini adalah sukar untuk menangani keadaan sedemikian,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Kementerian Kewangan berkata susulan spekulasi, ringgit telah mengekang aliran penurunan dan meningkat sebanyak 10 peratus bagi tempoh 1 November, 2022-8 Februari, 2023 untuk mencecah RM4.2983 berbanding dolar AS.

Berikutan sentimen risiko pelabur global yang kian baik, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang rakan dagang utama Malaysia sebagaimana dipaparkan oleh kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit yang meningkat sebanyak 3.2 peratus dalam tempoh yang sama, kata kementerian itu dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama kecuali pound Britain yang menokok kepada 5.2921/2975 daripada 5.3075/3123 pada akhir urus niaga semalam.

Unit tempatan itu susut berbanding yen kepada 3.2962/2998 daripada 3.2883/2915, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3070/3109 daripada 3.2989/3024 serta turun berbanding euro kepada 4.7165/7213 daripada 4.7101/7144.