- Iklan -
Berita

PLUS-TNB pasang 18 pengecas kereta elektrik menjelang hujung tahun ini

Buat masa ini, kemudahan pengecas TNB Electron kini disediakan di tiga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) iaitu Ayer Keroh (Arah Utara), Tapah (Arah Utara) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Paka (Arah Utara) di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan bangunan Plaza Tol Sungai Besi arah selatan kendalian PLUS.
Pemandangan bangunan Plaza Tol Sungai Besi arah selatan kendalian PLUS.

Sebanyak 18 pengecas kenderaan elektrik (EV) akan dibina dengan  kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Lebuhraya PLUS menjelang hujung tahun ini.

PLUS Malaysia Berhad dan TNB dalam satu kenyataan bersama memaklumkan kemudahan pengecas TNB Electron kini disediakan di tiga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) iaitu Ayer Keroh (Arah Utara), Tapah (Arah Utara) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Paka (Arah Utara) di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menurut kenyataan itu, enam lagi TNB Electron sedang dibangunkan di R&R Machap (Arah Selatan), Rawang (Arah Utara), Gunung Semanggol (Arah Selatan), Gurun (Arah Utara dan Selatan) dan Paka (Arah Selatan) yang dijangka siap pada tahun ini, sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju negara neutral karbon.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata pengunaan tenaga elektrik di sembilan TNB Electron itu yang dianggarkan sebanyak 99,000 kWh sepanjang 2023 akan dapat menghindari pelepasan 7.2 tan metrik karbon dioksida dalam tempoh sama yang bersamaan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 3.43 hektar hutan setahun.

Katanya TNB menjadikan pembangunan ekosistem EV sebagai antara empat inisiatif mempercepat pacuan peralihan tenaganya dalam usaha meningkatkan komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan. 

Sementara itu Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM Datuk Mohd Izani Ghani berkata syarikat konsesi utama pengendali infrastruktur lebuh raya negara berganding bahu bersama TNB dan menggunakan kepakaran teknologi sumber tenaga mereka untuk ditawar dan dinikmati oleh pengguna lebuh raya PLUS.

Mohd Izani berkata setakat 20 Jan tahun ini, sebanyak 20 kemudahan pengecas pantas telah beroperasi di sepanjang Lebuh Raya PLUS dan pihaknya bersedia menambah lebih banyak kemudahan sama di R&R yang lain.

Beliau berkata beberapa inisiatif turut dilaksanakan melalui kerjasama kedua-dua pihak dengan tumpuan memperluas penyelesaian kWh, kenderaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui serta inisiatif tenaga hijau termasuk pemasangan bumbung solar dan sistem pemantauan tenaga sebagai pelengkap inisiatif Kelestarian Alam Sekitar PLUS.

Katanya PLUS dan TNB akan meneruskan perbincangan berkaitan mobiliti rendah karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga dengan mengoptimumkan kos elektrik di samping menyokong sumber tenaga hijau.