- Iklan -
Berita

Perkhidmatan ambulans KKM, APM tak capai sasaran, menurut Laporan Ketua Audit Negara

KPI KKM cuma 41.8% berbanding 50% yang ditetapkan, sementara APM cuma 86.5% berbanding 100%.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ambulans dan kenderaan yang membawa petugas kesihatan Hospital Orang Asli Gombak, memasuki kawasan pedalaman bagi menjalankan vaksinasi Orang Asli di Sungai Gabai, Hulu Langat.
Ambulans dan kenderaan yang membawa petugas kesihatan Hospital Orang Asli Gombak, memasuki kawasan pedalaman bagi menjalankan vaksinasi Orang Asli di Sungai Gabai, Hulu Langat.

Perkhidmatan ambulans bagi Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tidak mencapai sasaran berdasarkan audit yang dijalankan bermula pada tahun 2017 hingga 2021.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 memaklumkan, KKM hanya mencapai 41.8 peratus berbanding indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan iaitu 50 peratus.

“Sementara itu, APM pula sebanyak 86.5 peratus berbanding sasaran KPI iaitu 100 peratus. Manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mencapai dan melebihi sasaran iaitu 65.1 peratus,” menurut laporan LKAN 2021 Siri 2 hari ini.

Laporan itu menyatakan beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti dan perlu diberi perhatian oleh pihak KKM dan APM, iaitu antaranya kelemahan pengurusan mengaktifkan berdekatan kejadian, pembekalan ambulans di bawah peruntukan darurat lewat 10 bulan daripada tarikh pembekalan yang diluluskan.

Susulan itu, pihak audit telah mengesyorkan supaya pihak KKM dan APM, untuk merangka kaedah yang sesuai dan munasabah dalam menetapkan KPI yang hendak dicapai berdasarkan jarak dan kapasiti aset.

“Selain itu, mengkaji semula penempatan ambulans di hospital atau klinik kesihatan dan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) mengikut lokasi kejadian, bagi memastikan KPI yang ditetapkan tercapai.

“Seterusnya, KKM perlu memastikan proses pembaharuan kontrak dilaksanakan sebelum kontrak tamat, bagi mengelakkan berlaku isu pecah kecil pembayaran,” menurut laporan itu.

Walau bagaimanapun menurut laporan itu, secara keseluruhan perkhidmatan ambulans di Malaysia yang dilaksanakan oleh KKM, APM dan JBPM, adalah memuaskan.