- Iklan -
Berita

Pemberian ubat PrEP bukan untuk galak seks songsang, kata timbalan menteri

Ia langkah ke depan untuk mengurangkan jangkitan HIV, kata Lukanisman.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni. Gambar: Bernama

Pemberian ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada pasangan homoseksual dan mereka yang terdedah dengan risiko jangkitan HIV bukan bertujuan menggalakkan aktiviti seksual songsang.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Suani berkata, penggunaan ubat PrEP menjadi kaedah tambahan setelah kes-kes penyalahgunaan substans menjadi penghalang kepada langkah advokasi pencegahan, penggunaan kondom dan pengurangan risiko.

Katanya, KKM sudah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa pihak berkuasa agama, antaranya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Sudah pasti kita bukan sahaja mengadakan (libat urus) bersama agamawan, tetapi kita meluaskan pandangan agama-agama lain. 

“Saya berpendapat KKM mengadakan program PrEP untuk mengurangkan kadar jangkitan, bukan untuk menggalakkan tingkah laku seksual songsang," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) di sesi Dewan Rakyat hari ini. 

Yunus berkata, pemberian ubat itu kepada pengamal seks songsang yang negatif HIV dilihat seperti tidak menghalang aktiviti itu. 

Jabatan Mufti Selangor sebelum ini berkata, penggunaan ubat itu kepada pasangan homoseksual menjadi kontroversi kerana ia membantu golongan itu dalam melakukan perkara yang dicegah agama Islam. 

Menurut jabatan itu, ubat tersebut dibenarkan kepada pasangan suami isteri yang sudah berkahwin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii ketika mencelah berkata, pemberian ubat tersebut tidak bermakna kerajaan menghentikan usaha advokasi dan pencegahan. 

Lukanisman yang juga ahli Parlimen Sibuti berkata, program PrEP bukan satu rawatan atau galakan pengamal aktiviti songsang, tetapi langkah ke depan untuk mengurangkan jangkitan HIV.

"Pendekatan PrEP dapat mengurangkan jangkitan dan kebimbangan kita terhadap golongan yang mendapat HIV seawal 18 tahun. 

“Pencegahan sahaja tidak mencukupi."  

Dalam pada itu, beliau berkata data KKM nenunjukkan lebih 77% kes baru HIV setiap tahun membabitkan golongan muda berusia 20 hingga 39 tahun. 

Daripada jumlah itu, lebih 90% adalah lelaki. 

"Ini juga menunjukkan bahawa pendedahan kepada jangkitan HIV bermula daripada bangku persekolahan lagi. 

“Hampir kesemua kes (97%) adalah dijangkiti melalui hubungan seksual."

Ubat itu dijual pada harga RM90 hingga RM120 untuk satu botol PrEP di klinik swasta.