- Iklan -
Berita

Kes rasuah Guan Eng: Permohonan dapatkan perbualan WhatsApp didengar 1 Mac

Hakim tetap tarikh itu selepas Gobind mohon dapatkan keterangan berkait kes tipu di Mahkamah Shah Alam bagi menyokong permohonan anak guamnya dapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp berkenaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 18 Januari. Gambar: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 18 Januari. Gambar: Bernama

Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 1 Mac depan untuk mendengar permohonan pembelaan bagi mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan, membabitkan pemberian wang RM2 juta kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dua ahli perniagaan itu ialah G. Gnanaraja dan Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk mendapatkan nota keterangan berkaitan kes tipu membabitkan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam, bagi menyokong permohonan anak guamnya untuk mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp berkenaan.

Menurut Gobind, pihaknya sebelum ini telah memohon kepada Mahkamah Shah Alam untuk mendapatkan nota keterangan itu tetapi ia ditolak oleh mahkamah.

“Oleh itu, kami menjelaskan sekali lagi kepada mahkamah (Shah Alam) pentingnya untuk mendapatkan nota berkenaan. Kami dimaklumkan nota keterangan itu akan diberikan oleh mahkamah dalam tempoh dua minggu. Oleh itu, kami mohon pendengaran permohonan hari ini untuk mendapatkan laporan forensik ditangguhkan sementara menunggu nota keterangan diperolehi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan untuk menangguhkan prosiding hari ini.

Terdahulu, Gobind memberitahu mahkamah, nota keterangan itu mengandungi keterangan saksi pendakwaan, Azli Adam, yang ketika itu Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZCSB, berhubung pemberian wang RM2 juta yang didakwa berbeza dengan keterangan di mahkamah ini dalam kes Lim membabitkan projek terowong dasar laut dan pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

"Semasa perbicaraan di Mahkamah Shah Alam, saksi itu (Azli) menyatakan baucar pembayaran wang RM2 juta bertarikh 17 Ogos 2017 diberikan kepada pihak ketiga bagi tujuan tertentu yang tiada kena mengena dengan Lim sedangkan saksi pendakwaan ke-28 itu memberi keterangan di mahkamah ini bahawa wang berkenaan diberikan kepada Lim.

"Kedua-dua kes membabitkan saksi sama dan baucar pembayaran serta cek sama. Oleh itu, kami perlu mendapatkan salinan nota keterangan daripada Mahkamah Shah Alam kerana saksi ini tidak bercakap benar," kata peguam itu.

Lim, 62, kini dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek berkenaan dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.