- Iklan -
Berita

Nazri Aziz sesuai sebagai duta Malaysia ke AS, kata Zahid

Katanya, bekas ahli Parlimen Padang Rengas itu juga mampu memperkukuhkan pelbagai kerjasama melibatkan Malaysia dan Amerika Syarikat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Mohamed Nazri Abdul Aziz merupakan personaliti yang sesuai sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) kerana berupaya merapatkan hubungan antara kerajaan kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno, berkata beliau percaya bekas ahli Parlimen Padang Rengas itu juga mampu memperkukuhkan pelbagai kerjasama melibatkan Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Kerana kita pernah ada beberapa duta besar sebelum itu seperti Jamaluddin Mohd Jarjis, Awang Adek Hussin yang dapat menjalinkan hubungan antara Amerika Syarikat dan kerajaan Malaysia dan menubuhkan bukan sahaja Business-to-business (B2B), peer-to-peer (P2P) (rakan setara). 

“Bagi Umno, apa yang penting ialah memperkukuhkan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara AS (Amerika Syarikat) dan kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri bengkel Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKWD) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pelantikan Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat. 

Beliau percaya Nazri mampu menyusun dan menganjurkan pertemuan dan mesyuarat antara Anwar dan pemimpin tertinggi kerajaan serta pemimpin korporat Amerika Syarikat apabila perdana menteri mengadakan lawatan rasmi ke negara berkenaan, nanti. 

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 10 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia termasuk Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Semalam, Anwar dilapor berkata pelantikan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat diluluskan oleh kerajaan sebelum ini. 

Mengulas lanjut, Zahid berkata pelantikan Nazri bukan atas cadangan Umno, sebaliknya dibuat atas syor bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob ketika menerajui kerajaan terdahulu. 

Timbalan perdana menteri itu berkata negara sebelum ini berada di tahap tiga bagi nasihat perjalanan rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat, namun berjaya ditingkatkan ke tahap dua.

Justeru, beliau berharap Nazri mampu meningkatkan semula tahap nasihat perjalanan rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat kepada tahap satu.