- Iklan -
Berita

Kerajaan cadang perluas inisiatif Rahmah, libat sektor korporat, perbankan

Menteri KPDN Salahuddin Ayub yakin banyak syarikat besar akan tampil bantu kerajaan tangani kos sara hidup.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub, 4 Februari. Gambar: Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub, 4 Februari. Gambar: Bernama

Kerajaan sedang mempertimbang untuk memperluaskan lagi inisiatif Rahmah bukan sahaja dalam industri makanan tetapi turut melibatkan sektor korporat dan perbankan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata kerajaan mendapat banyak maklum balas positif berhubung inisiatif itu melalui sesi libat urus bersama pengusaha industri makanan serta pakaian, justeru beliau yakin reaksi sama akan turut diberikan sektor korporat dan perbankan.

"Kalau kita pergi nanti (libat urus) kepada sektor korporat yang lebih besar seperti Petronas, Sime Darby dan syarikat berkaitan kerajaan serta bank, saya yakin lebih banyak syarikat akan tampil membantu kerajaan menangani kos sara hidup," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Menu Rahmah oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) di restoran Nasi Kandar Stadium di Kuala Lumpur, yang merupakan sebahagian daripada Jelajah Menu Rahmah seluruh negara. Turut hadir timbalannya Fuziah Salleh.

Inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah dilancarkan pada Januari lepas sebagai antara usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup.

Ditanya bila sesi libat urus dengan sektor perbankan dan korporat berkenaan akan dijalankan, Salahuddin berkata kementerian masih mempunyai tempoh empat bulan lagi untuk berbuat demikian.

Mengulas tentang ramalan sesetengah pihak yang menyatakan inisiatif Menu Rahmah hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja, Salahuddin berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang indeks prestasi utama (KPI) berhubung perkara itu.

"Kita tidak mengambil itu sebagai KPI, apa yang penting ketika ini adalah kerajaan khususnya kementerian mengambil pendekatan terbaik untuk memastikan tidak ada rakyat Malaysia yang berlapar.

"Selagi mana kebajikan ini sanggup diteruskan oleh pemain industri, sepanjang itulah Menu Rahmah akan dapat diberikan kepada rakyat dalam negara kita," katanya. 

Salahuddin berkata pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah juga tidak melibatkan sebarang peruntukan ataupun perbelanjaan daripada kerajaan, sebaliknya ia adalah komitmen sepenuhnya peniaga yang menyertainya secara sukarela.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.