- Iklan -
Berita

Jangan timbul polemik dengan masyarakat, kata Loke kepada pemimpin DAP

Katanya, parti itu harus bertindak serta memainkan peranan sebagai sebuah parti kerajaan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan rakyat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook hari ini memberi peringatan kepada pemimpin DAP di semua peringkat agar tidak menimbulkan sebarang polemik dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata DAP sebagai antara parti yang membentuk kerajaan Persekutuan harus bertindak serta memainkan peranan sebagai sebuah parti kerajaan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan rakyat.

“Kita (DAP) adalah sebahagian daripada kerajaan. Peranan kerajaan adalah menyelesaikan masalah dan bukannya menimbulkan masalah.

“Bagi saya kalau mana-mana pemimpin atau pihak yang menimbulkan apa-apa polemik dalam masyarakat, terutamanya (kerana) kita tahu persekitaran dan juga sentimen politik dalam negara kita, (tindakan ini) adalah tidak produktif langsung yang tidak akan kemana-mana,” katanya pada sidang media Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan 2022 di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P.Ramasamy yang meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam kerana menurutnya ia kini didominasi orang Melayu.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata tiba masanya untuk akar umbi serta pemimpin parti itu untuk melakukan perubahan cara berfikir selain terus mempertahankan budaya politik parti itu yang sentiasa memahami rakyat serta menjaga sikap dan pendekatan supaya tidak berubah menjadi angkuh dan sombong.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Ramasamy, Loke berkata DAP akan menggunakan saluran serta pendekatannya yang tersendiri dalam menangani isu itu.

“Apa-apa pandangan daripada rakan-rakan, saya mengucapkan terima kasih tetapi kami ada cara kami untuk menguruskannya,” katanya. 

Selain itu, Loke berkata DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberikan cabaran supaya memainkan peranan aktif untuk memperkukuh lagi jentera dan organisasi parti dengan menambah keahlian daripada golongan muda.