- Iklan -
Berita

Ambil iktibar program Menu Rakyat 1Malaysia, kata pengusaha restoran

Inisiatif menu murah terbukti tak mampu bertahan, jika betul kerajaan nak tolong rakyat, turunkan harga bahan mentah dan asas, kata peniaga.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja berjalan di belakang kaunter kedai makan yang menyediakan hidangan Menu Rahmah di sebuah pasar raya di Subang, Selangor.
Seorang pekerja berjalan di belakang kaunter kedai makan yang menyediakan hidangan Menu Rahmah di sebuah pasar raya di Subang, Selangor.

Sejak awal Februari lalu, para menteri dan kebanyakan media berpandangan masalah utama yang dihadapi oleh majoriti rakyat Malaysia adalah harga makanan yang mahal.

Susulan itu, diperkenalkan satu program menyediakan menu hidangan dengan harga murah dikenali Menu Rahmah.

Melalui program itu, pembeli boleh mendapatkan set makan tengah hari atau malam dengan harga bawah RM5. 

Pada minggu pertama pelaksanaannya, program tersebut mendapat sambutan hangat dan maklum balas yang baik.

Bagaimanapun, pada minggu ini sahaja media sosial sudah mula dipenuhi aduan dan keluhan peniaga yang merasakan tidak mampu meneruskan pengeluaran set hidangan Menu Rahmah dengan harga yang rendah sedangkan kos pengeluaran melibatkan barang mentah dan asas masih tinggi dalam pasaran.

Seorang pemilik dan pengusaha restoran di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor berkata penyediaan menu berkonsep “bajet” tidak boleh bertahan lama tanpa suntikan dana atau subsidi oleh kerajaan.

Fairuz Deli yang mengusahakan restoran dan katering lebih 30 tahun berkata, kerajaan campuran perlu mengambil iktibar daripada program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) yang dijalankan pada era pentadbiran Najib Razak sekitar tahun 2011, lebih sedekad yang lalu.

Ketika itu katanya, rangkaian restoran dikenali Restoran Ukhwah ditubuhkan dan penglibatan kira-kira 1,115 kedai makan menyahut inisiatif program tersebut untuk menyediakan lauk pauk dengan harga antara RM3 hingga RM5 termasuk minuman.

Fairuz juga salah seorang pengusaha restoran yang menyertai MR1M dengan restorannya ketika itu dibuka di Taman Sri Murni, Selayang.

Katanya, bagi tempoh enam bulan pertama program berlangsung, perniagaan masih boleh bertahan meskipun kos barangan meningkat secara mendadak sejak awal tahun 2011.

“Harga cili merah, ikan dan sayur paling naik mendadak masa tu dari RM8 hingga cecah RM13 dan RM15 sekilogram

“Sayur sawi pula RM3.50 dari RM2.50, tomato RM5 sebelum tu RM4, limau nipis RM5 dari RM3 dan timun pun sama.

“Sampai hari ini, harga-harga sayur ni makin naik tak pernah turun. Macam mana nak jual lauk murah?” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui di restorannya.

Atas sebab itu, katanya, selepas enam bulan menyediakan hidangan MR1M, dia berhenti menjual nasi tengah hari dan tukar operasi pada waktu petang hingga lewat malam.

Ini bagi membolehkan dia membaik pulih kos kerugian yang ditanggung akibat kos pengeluaran yang berlebihan daripada keuntungan.

Bagi program Menu Rahmah, Fairuz terus menggelengkan kepala dan menegaskan dia tidak akan menjalankan inisiatif tersebut di restorannya.

Katanya, para pelanggannya masih boleh menikmati hidangan yang murah tanpa perlu memilih menu daripada program tersebut.

Antaranya, set roti bakar dan minuman atau set roti jala dengan kuah kari ayam. 

Selain itu, nasi putih dengan sambal telur dipadankan dengan sayur pilihan mengikut hari.

“Semuanya pun bawah RM7. Dah bertahun saya buat untuk pelajar-pelajar datang makan. 

“Tak perlu tunggu Menu Rahmah dan sebagainya.”

Bercerita lebih lanjut, Fairuz membayangkan program Menu Rahmah yang bermula pada penghujung Januari lalu tidak mampu bertahan lama dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar.

Menurutnya, dengan kos operasi melibatkan harga barangan yang tinggi, kos sewa dan utiliti yang tidak menentu selepas pandemik Covid-19 serta bayaran gaji pekerja mengikut kadar semasa hanya menyebabkan peniaga lebih menderita.

“Paling lama pun saya jangka empat bulan melainkan ada dana atau bantuan dari kerajaan. Kalau tiada, memang bungkus (tutup) macam Restoran Ukhwah. Kalau tak percaya boleh pergi tengok restoran-restoran itu kini dah macam diambil alih oleh kedai mamak.

“Dan harga bukannya sama macam yang diperjuangkan pada tahun 2011 dulu, sebab apa? Tak boleh tahan. Kita beli pun mahal macam mana nak jual murah. Tak logik.

“Jadi ambillah iktibar. Kita bukan tak pernah buat, tapi tak menjadi.”

Seorang pekerja menunjukkan juadah makanan yang telah siap dibungkus untuk pelanggan ketika tinjauan mengenai inisiatif Menu Rahmah di pasar raya Mydin dekat Ayer Keroh, 2 Februari. Gambar: Bernama
Seorang pekerja menunjukkan juadah makanan yang telah siap dibungkus untuk pelanggan ketika tinjauan mengenai inisiatif Menu Rahmah di pasar raya Mydin dekat Ayer Keroh, 2 Februari. Gambar: Bernama

Bertukar wajah

Tinjauan MalaysiaNow ke unit Restoran Ukhwah di Medan Tuanku, Kuala Lumpur sudah bertukar wajah dan dipercayai bertukar pemilik dan pengurusan.

Harga makanan yang disediakan juga tidak jauh beza dengan harga yang dijual oleh kedai-kedai makanan berdekatan.

Ketika lawatan, restoran tersebut tidak dikunjungi ramai pelanggan dan hanya beberapa meja dilihat dikunjungi pelanggan.

Anuar Khan, seorang pelanggan tetap di situ memberitahu restoran asalnya sudah lama tutup sebelum diuruskan oleh pengusaha lain.

Dia yang sering menikmati minuman petang di restoran berkenaan berkata, program MR1M yang dijalankan ketika Restoran Ukhwah beroperasi sudah lama tidak beroperasi sehingga dia juga hampir terlupa mengenai kewujudannya suatu masa dulu.

Dalam pada itu, Syazwani Abdul Hamid, seorang pemilik dan pengusaha restoran makanan pagi dan tengah hari di Kota Warisan, Sepang pada mulanya tidak berat hati menyediakan set hidangan Menu Rahmah dengan harga RM5.

Bagaimanapun, selepas seminggu menawarkan hidangan Menu Rahmah, Syazwani mula menyedari hakikat sebenar yang perlu ditanggungnya.

Pertama, harga yang dibayar oleh pelanggan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasinya khususnya bayaran gaji pekerja.

Kedua, sasaran pelanggannya tersasar apabila makanan yang dijual tidak boleh dikawal. 

Ini bermakna, sesiapa sahaja yang datang membeli dan makan di restorannya boleh menikmati hidangan Menu Rahmah tanpa mengira latar belakang kewangan sama ada kurang berkemampuan atau sebaliknya.

“Sebenarnya boleh buat, memang boleh sediakan set nasi harga macam tu. Tapi kita yang sakit. Contohnya ayam, boleh potong kecil dan jual dalam kuantiti yang lebih sikit.

“Tapi selain itu kena tengok juga, harga minyak masak masih tinggi. Belum masuk bahan lain. 

“Kemudian, orang yang tolong cuci ayam dan bancuh air tu pun kena bayar upah, bukan buat kerja percuma,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada 9 Februari, Syazwani menghentikan tawaran hidangan Menu Rahmah dan meneruskan jualan nasi campur seperti biasa.

Dengan cara itu, sesiapa juga boleh menikmati harga makanan yang rendah bersesuaian dengan lauk yang dipilih.

“Saya fikir cara ini lebih baik kerana pelanggan sendiri yang ada pilihan. Nak beli yang berbaloi kena bayar lebih sikit. 

“Nak beli yang jimat, bayar murah. Saya pun tak pening memikirkan nasib perniagaan dan pekerja.”

Syazwani juga merasakan program tersebut sememangnya memberi manfaat kepada banyak orang yang masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Namun, tanpa pengeluaran dana dan bantuan kerajaan bermakna program itu tidak boleh bertahan lama.

Katanya, jika benar kerajaan mahu membantu rakyat mendapatkan harga murah, mereka perlu memikirkan cara lain seperti menurunkan inflasi atau lebih cepat dan mudah, memberikan subsidi kepada pengusaha makanan dalam usaha menyediakan Menu Rahmah secara berterusan.

“Kerajaan kena paham, tiada yang percuma terutama sekali dalam perniagaan pada masa serba serbi mahal ini.”

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub memberitahu pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah tidak melibatkan sebarang peruntukan ataupun perbelanjaan daripada kerajaan.

Sebaliknya ia bergantung sepenuhnya kepada komitmen peniaga secara sukarela menyertainya dalam membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan B40.