- Iklan -
Berita

Selangor atau Negeri Sembilan untuk Khairy?

Ini selepas beliau dilaporkan mahu menjadikan Selangor sebagai tapak politik barunya, serta memberi bayangan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Penganalisis politik berbeza pandangan mengenai negeri yang wajar ditumpukan oleh Khairy Jamaluddin selepas dipecat daripada Umno.

Ini selepas beliau dilaporkan mahu menjadikan Selangor sebagai tapak politik barunya, serta memberi bayangan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Kartini Aboo Talib berkata, Khairy wajar kembali ke Negeri Sembilan untuk menebus semula karier politiknya.

"Lebih baik sekiranya beliau berlawan dengan Tok Mat (Mohamad Hasan) untuk merebut kerusi Rantau dan menjadi menteri besar Negeri Sembilan,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Agenda di sebalik Sungai Buloh sepatutnya dijadikan pengajaran. Jangan pisang berbuah dua kali di Selangor ini.”

Kartini merujuk kepada kerusi Rantau yang disandang oleh Mohamad yang kini merupakan menteri pertahanan.

Katanya Khairy lebih dikenali sebagai seorang yang berkaliber dan berdedikasi dalam kalangan pengundi.

Khairy yang juga bekas menteri kesihatan itu berpindah daripada kawasannya di Rembau, Negeri Sembilan setelah tiga penggal berkhidmat, bagi memberi laluan kepada Mohamad yang juga timbalan presiden Umno.

Beliau bertanding di kerusi Buloh, Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menentang wakil PKR, Ramanan Ramakrishnan yang berjaya menewaskan Khairy, meskipun dengan majoriti yang merudum.

Khairy dan bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar dipecat daripada parti baru-baru ini oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang didominasi kumpulan presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Ia disebabkan ucapannya dalam kempen PRU15 bahawa Umno sudah sesat dan perlu direformasi.

Bekas ketua Pemuda Umno itu turut menyatakan hasratnya untuk memimpin parti itu dan negara sebagai perdana menteri.

Sementara itu, penganalisis politik dari Singapore Institute Of International Affairs, Oh Ei Sun berkata, Khairy mempunyai kelebihan di kedua-dua negeri, dengan keberadaan yang lama di Negeri Sembilan dan pengundi bandar di Selangor.

"Beliau dijangka memanfaatkan karisma peribadinya dalam kalangan pengundi, dan berharap PKR membuka pintu kepadanya untuk mengetuai perlawanan menentang gelombang Melayu di Selangor.

"Katanya, Khairy lebih mempunyai karisma untuk mengambil hati pengundi di Selangor berbanding penyandang menteri besar, Amirudin Shari atau Tengku Zafrul Aziz yang mungkin akan diturunkan oleh Barisan Nasional (BN).

Sekali pun Khairy berjaya menang dan tercalon untuk menjadi menteri besar, beliau tetap memerlukan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk disahkan menjawat jawatan itu.

Bagi Kartini, pengundi Selangor sudah pun selesa dengan Amirudin dan ini menyukarkan Khairy untuk berada di Selangor.

Khairy dalam beberapa wawancara sebelum dipecat mengakui menerima pelawaan daripada PAS dan Perikatan Nasional (PN), namun menolak tawaran itu. 

PKR juga mengumumkan akan membincangkan kemasukan beliau atau pemimpin Umno lain yang berminat. 

Menurut Khairy, beliau ingin menyertai parti yang sehaluan dengannya dari segi ideologi dan visi untuk negara.

Oh pula tidak pasti kesesuaian ideologi Khairy dengan PN. 

Katanya, pengundi bandar akan meninggalkan beliau jika menyertai PN.

"Sukar untuk beliau menerima sokongan pengundi yang lebih konservatif melainkan beliau sendiri menjadi lebih konservatif juga."