- Iklan -
Berita

Pendakwaan tarik balik rayuan lucut hak 9 entiti berkait skandal 1MDB

Timbalan Pendakwa Raya Samihah Razali, berkata pendakwaan mengemukakan notis untuk tidak meneruskan rayuan itu pada 2 Februari lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Jalur Gemilang berkibar di luar pekarangan kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya yang turut menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama
Jalur Gemilang berkibar di luar pekarangan kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya yang turut menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama

Pendakwaan menarik balik rayuannya untuk melucut hak wang milik sembilan entiti termasuk Umno dan Wanita MCA yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pendakwaan gagal di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bagi melucut hak wang daripada Habib Jewels Sdn Bhd, Hattatex Trading, Wanita MCA, Umno, Badan Perhubungan Umno Kedah serta empat individu, Perano Sdn Bhd, Binsabi Sdn Bhd dan K&Z Enterprise Sdn Bhd. 

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menolak permohonan pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan pendakwaan melucut hak wang yang dirampas daripada Badan Perhubungan Umno Pahang. 

Ini menyebabkan pendakwaan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan yang menetapkan hari ini sebagai pendengaran kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Samihah Razali, ketika dihubungi Bernama, berkata pendakwaan mengemukakan notis untuk tidak meneruskan rayuan itu pada 2 Februari lepas.

Beliau berkata kerajaan turut memulangkan wang yang telah disita dalam kes itu.

Pada 2 September 2021, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tiada bukti yang mencukupi bagi memuaskan hati mahkamah bahawa wang yang dirampas adalah perkara atau bukti berkaitan dengan perlakuan kesalahan atau hasil aktiviti haram. 

Mahkamah itu turut memutuskan bahawa tiada sebarang kaitan antara wang dalam akaun bank responden dan dana yang didakwa diselewengkan daripada IMDB.

Pendakwaan memohon untuk melucut hak RM192,965,413.61 milik Umno, RM300,000 daripada Wanita MCA, RM337,634.78 dan RM827,250 masing-masing daripada Perano, sebuah syarikat yang menjual hijab serta Binsabi yang membekalkan khemah, RM100,000 daripada Habib Jewels, RM138,359.60 daripada K&Z Enterprise, RM827,250 daripada Badan Perhubungan Umno Kedah dan RM111,590 daripada Hattatex Trading.

Pendakwaan mendakwa wang yang disita adalah perkara atau bukti daripada hasil aktiviti haram yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Minggu lepas, kerajaan turut menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan untuk melucut hak wang berjumlah RM21.7 juta milik 11 individu, entiti perniagaan dan parti politik termasuk UMNO Pekan serta Badan Perhubungan Umno Johor yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

Yang lain ialah Jakel Trading Sdn Bhd, Jakel Trading, Barisan Nasional Bahagian Johor Bahru, Mediaedge CIA Malaysia Sdn Bhd, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Pengarah Strategic Engagement Media Sdn Bhd (CENSE Media) Sim Sai Hoon, AGA Touch Malaysia Sdn Bhd, Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (Yayasan PBAKM) serta bekas menteri tanah dan pembangunan koperasi Kasitah Gaddam.