- Iklan -
Berita

Malaysia sumbang lebih RM200,000 ubat kepada Ukraine

Dr Zaliha harap dapat tingkat kerjasama dengan negara tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama

Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menyumbang bantuan perubatan bernilai RM227,984 kepada kerajaan Ukraine.

Bantuan berupa ubat Levothyroxine Sodium 100 mcg dalam bentuk tablet, Fentanyl Citrate 50 mcg/millilitre (ml) dalam suntikan dua ml, Amikacin 250 mg/ml dalam suntikan dua ml, dan suntikan Propofol 10 mg/ml itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa kepada Kuasa Usaha Kedutaan Ukraine di Malaysia Denys Mykhailiuk.

Dr Zaliha dalam ucapannya pada majlis simbolik penyerahan bantuan berkenaan di pejabat Kementerian Kesihatan di sini berkata, majlis hari ini adalah contoh terbaik pakatan strategik yang mempamerkan nilai kemanusiaan hebat, dan matlamat bersama untuk keamanan serta keselamatan global.

“Dengan laporan berjuta-juta rakyat Ukraine telah meninggalkan rumah, dan ramai yang menyeberangi sempadan ke negara jiran, tuntutan kepada nilai kemanusiaan yang tercetus daripada situasi kecemasan ini memerlukan tindakan segera bagi memastikan akses tanpa halangan kepada ubat-ubatan penting,” katanya.

Katanya beliau berharap agar kerjasama dengan kerajaan Ukraine pada masa akan datang dapat ditingkatkan, terutama dalam bidang penjagaan kesihatan.