- Iklan -
Berita

Anwar dakwa kerajaannya dapat sokongan Melayu

Beliau berkata hasil tinjauan penyelidik PKR, secara keseluruhannya gabungan itu memperoleh sokongan sebanyak 31% daripada pengundi Melayu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan campuran yang diketuainya mendapat sokongan kaum Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menurut hasil tinjauan daripada pasukan penyelidik PKR.

Ia sekali gus menafikan satu data yang dikeluarkan oleh penganalisis sebelum ini bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat sokongan majoriti orang Melayu.

"Tidak benar seperti yang diuar-uarkan konon PH hanya mendapat 19% dukungan orang Melayu.

“Tidak mungkin kita dapat mencatat kerusi seperti yang kita catat dalam PRU baru-baru ini," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Sebelum ini. penganalisis Bridget Welsh mendedahkan, PH hanya mendapat 11% undi orang Melayu. Perikatan Nasional menerima 54% undi orang Melayu manakala selebihnya diraih Barisan Nasional (BN).

PH memenangi 82 kerusi di Parlimen, menjadikan gabungan itu blok terbesar dalam Dewan Rakyat. PN menang 74 kerusi manakala BN memperoleh 30 kerusi.

Kerajaan Persekutuan dibentuk dengan kerjasama PH dan BN serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, dapatan pasukan penyelidik PKR itu ialah daripada saintis data mereka sendiri dan akan diperkemas lagi.

Menurut presiden PKR itu, secara keseluruhannya gabungan itu memperoleh sokongan sebanyak 31% daripada pengundi Melayu.

Sokongan Melayu kepada PH berada pada tahap rendah di negeri seperti Kelantan dan Terengganu, dan melebihi 50% di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Tambah Anwar, Wilayah Persekutuan mencatatkan sokongan Melayu paling tinggi untuk PH.

"Kalau dikumpul dengan kerajaan sekarang ini seperti PH, BN, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, itu sudah mencecah dua pertiga undi dalam PRU lalu."