- Iklan -
Berita

Siasat juga dana pilihan raya PKR, DAP, kata bekas pembantu Muhyiddin

Bekas pembantu Muhyiddin Yassin berkata kedua-dua parti juga berbelanja besar semasa kempen PRU15 baru-baru ini, dan harus disiasat bersama BN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Jentera pilihan raya memasang bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Kuala Lumpur, 19 November.
Jentera pilihan raya memasang bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Kuala Lumpur, 19 November.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa menyiasat perbelanjaan pilihan raya parti komponen Pakatan Harapan (PH), PKR dan DAP, serta Barisan Nasional (BN) di tengah-tengah siasatan agensi anti rasuah itu ke atas sumber pembiayaan Bersatu.

Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri, berkata kedua-dua parti itu, DAP dan PKR berbelanja besar untuk bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk bendera, poster, papan iklan, lori dan kempen media sosial. 

“Ini tidak termasuk sewa jet dan helikopter yang digunakan Anwar sepanjang tempoh berkempen, atau kos lain yang melibatkan jentera parti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

"Mengikut anggaran kasar saya, jumlah kos kempen pilihan raya PKR dan DAP akan mencecah ratusan juta ringgit. Dari mana datangnya dana ini?"

Marzuki turut menggesa PKR dan DAP untuk menerbitkan penyata akaun mereka, termasuk akaun pemegang amanah yang dipegang bagi pihak parti, jika ada. 

Anwar sebelum ini berkata PKR akan berbuat demikian jika diminta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"SPRM boleh menjalankan semakan ke atas mana-mana parti. Bersatu tidak mendedahkan akaunnya, ia sedang disiasat," kata presiden PKR itu.

"Saya tiada masalah kerana akaun PKR diaudit dan diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan mengikut jadual setiap tahun." 

Dalam catatan di Facebook, Marzuki mempersoalkan sama ada PKR dan DAP menerima sebarang pembiayaan daripada taikun perniagaan yang mempunyai urusan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, yang ditadbir PH.

"Adalah tidak adil untuk menyiasat Bersatu sahaja kerana tuduhan berbelanja besar," katanya.

"PKR dan DAP juga banyak berbelanja."

Beliau berkata BN juga perlu disiasat berhubung dana pilihan rayanya, sambil menambah bahawa menteri gabungan itu merupakan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) manakala perdana menteri selepas pentadbiran PN juga datang daripada BN. 

“Saya percaya perdana menteri adalah seorang yang adil dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan,” katanya. 

"Jadi bersikap adil dalam semua tindakan."