- Iklan -
Berita

Sesuaikah perumahan ala HDB Singapura di Malaysia?

Menurut pakar, tiada keperluan untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapatkan kepakaran HDB.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pandangan umum menunjukkan pangsapuri kediaman awam Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang baru diduduki di Singapura pada 5 Mac 2018. Gambar: AFP
Pandangan umum menunjukkan pangsapuri kediaman awam Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang baru diduduki di Singapura pada 5 Mac 2018. Gambar: AFP

Langkah Putrajaya mengundang pakar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura untuk melihat kembali polisi perumahan negara sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan pakar tempatan berhubung kesesuaiannya.

Penyelidik dari Institut IRIS, Fahmi Bahrudin berkata tiada keperluan untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapatkan kepakaran HDB.

"Keperluan yang ada sekarang adalah untuk atasi masalah perumahan di bandar yang padat seperti di Lembah Klang. 

"HDB ini sendiri bermasalah dari sudut idea dan kerangkanya kerana hanya untuk menyelesaikan masalah jangka pendek di Singapura sekitar tahun 1960-an ketika itu," katanya kepada MalaysiaNow.

Minggu lalu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, kontraktor HDB akan melawat kementeriannya untuk berkongsi pengetahuan mereka dalam membangunkan perumahan mampu milik.

HDB merupakan agensi perumahan awam Singapura yang bertanggungjawab membangunkan perumahan mampu milik untuk rakyat republik itu.

Perumahan flat kos rendah di negara itu bagaimanapun mengorbankan tanah dan kawasan yang didiami oleh orang Melayu.

"Kampung-kampung Melayu seperti Geylang Serai dan Kampung Glam diambil secara paksa oleh kerajaan Singapura untuk membangunkan HDB, ekoran masalah tanah terhad yang tidak memungkinkan pasaran perumahan swasta tanpa had. 

"Orang Melayu Singapura dipaksa pindah ke flat HDB yang berasaskan sistem kuota yang mana majoritinya orang Cina," katanya merujuk kepada sistem kejuruteraan sosial yang diterapkan dalam model HDB.

Tambah Fahmi, HDB dibina dalam kerangka pembangunan ekonomi semata-mata tanpa mengambil kira aspek etos nasional, identiti Melayu-Islam dalam rangka penyusunan masyarakat dalam negara. 

Sementara itu, pakar perancangan bandar Universiti Malaya, Nikmatul Adha Nordin pula berkata, menteri sepatutnya mengadakan sesi libat urus dengan pakar-pakar tempatan terlebih dahulu. 

"Pakar tempatan lebih memahami isu dan masalah yang dihadapi di Malaysia.

"Walaupun iklim Malaysia dan Singapura adalah sama, akan tetapi konteks dan corak perbandaran adalah berbeza," katanya.

Noor Rosly Hanif daripada program pengurusan hartanah dan lelong Universiti Antarabangsa Malaya-Wales berkata negara itu tidak mempunyai masalah gelandangan kerana HDB mempunyai data yang lengkap dan bersepadu mengenai rakyat, seperti kemampuan membayar, isi rumah dan lain-lain.

"Perkara beginilah yang perlu kita pelajari dari mereka kerana sampai sekarang ini kita masih gagal untuk mempunyai satu pangkalan data bersepadu sama ada di peringkat mukim, daerah, negeri mahupun negara.”

Kebiasaannya, data mengenai jumlah penduduk di Malaysia terbahagi kepada jumlah pendapatan seperti T20, M40 dan B40.

Ia disifatkan Rosly sebagai samar-samar dan tidak membantu menyediakan keperluan sebenar.

HDB terlibat dalam mengawal pasaran perumahan yang mana perubahan pemilikan diukur mengikut keperluan individu.

Menurut Rosly, ia berjaya menjadikan rumah sebagai kediaman dan bukan komoditi perniagaan. 

Menurut Rosly, kegusaran pertama pembabitan berkaitan HDB ialah berkenaan rahsia negara kerana data mengenai penduduk akan terdedah kepada negara luar.

"Saya rasa alasan ini ada kebenarannya, walau bagaimanapun, jika kita masih tidak mempunyai pangkalan data yang komprehensif, apa yang kita nak khuatirkan?"

"Kedua pihak pemaju perumahan akan merasa terancam kerana agensi seperti HDB akan menyediakan rumah yang betul-betul diperlukan oleh rakyat terutamanya mereka dalam kumpulan B40 dan M40.

"Peranan pemaju akan menjadi kecil kepada pasaran perumahan kumpulan T10 sahaja."