- Iklan -
Berita

LHDN dapat penghakiman terus saman cukai RM1.8 bilion terhadap bapa Jho Low

Hakim Abd Majid Hamzah yang menyampaikan keputusan itu semalam membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan Hock Peng membayar kos RM3,000.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi urusan percukaian. Gambar: Bernama
Orang ramai beratur di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi urusan percukaian. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan kembali RM1.8 bilion tunggakan cukai daripada Larry Low Hock Peng, bapa kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan mengenai satu kes tanpa mendengar keterangan saksi.

Hakim Abd Majid Hamzah yang menyampaikan keputusan itu semalam membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan Hock Peng membayar kos RM3,000.

Mahkamah turut menolak permohonan Hock Peng untuk membatalkan saman yang difailkan kerajaan melalui LHDN.

LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad, Al-Hummidallah Idrus dan Muhammad Aiman Abdullah manakala peguam Yatiswara Ramachandran, Francis Tan dan Oh Chong Ghee bertindak bagi pihak Hock Peng. 

Pada 24 Mac 2021, kerajaan selaku plaintif memfailkan permohonan untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Hock Peng selaku defendan sebanyak RM1,884,098,662.55 dengan faedah pada lima peratus setahun dari tarikh penghakiman ini (1 Februari) hingga tarikh realisasi dan kos.

Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan cukai yang terhutang dan kenaikan-kenaikan yang dikenakan di bawah peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 boleh didapatkan kembali sebagai suatu cukai yang genap masanya dan kena dibayar.

Hock Peng memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 22 Mac 2021, antaranya kerana taksiran-taksiran untuk tahun 2011 dan 2012 serta taksiran tambahan bagi 2013 dan 2014 adalah tidak sah kerana taksiran tersebut dilakukan melebihi lima tahun daripada tahun taksiran ke atas pendapatan yang didakwa terakru tanpa mematuhi Seksyen 91 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kerajaan yang memfailkan saman itu pada 19 Januari 2021, mendakwa Hock Peng gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012 dan Tahun-tahun Taksiran Tambahan bagi 2013, 2014, 2015 dan 2018 termasuk kenaikan yang dikenakan berjumlah RM1,884,098,662.55.

Pada 18 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan kembali RM1.05 bilion tunggakan cukai daripada Jho Low.