- Iklan -
Berita

PN umum Kabinet bayangan

Jawatankuasa itu diketuai pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang juga ketua ahli Parlimen PN.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Setiausaha PN Hamzah Zainudin (kiri) menunjukkan poster jawatankuasa portfolio semasa Permukiman Ahli Dewan Rakyat PN di Kuala Lumpur, 2 Februari.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Setiausaha PN Hamzah Zainudin (kiri) menunjukkan poster jawatankuasa portfolio semasa Permukiman Ahli Dewan Rakyat PN di Kuala Lumpur, 2 Februari.

Perikatan Nasional (PN) hari ini memperkenalkan Kabinet bayangan yang bakal melaksanakan tugas semak dan imbang dengan lebih berkesan sekali gus menjadikan gabungan politik itu pembangkang yang berwibawa.

Jawatankuasa Portfolio PN itu diketuai pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang juga ketua ahli Parlimen PN serta dibantu oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang selaku timbalan dan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang.

Muhyiddin berkata, menerusi jawatankuasa portfolio itu, PN akan mengetengahkan ahli-ahli Parlimen yang berkemahiran dan mempunyai pengalaman ketika berada dalam kerajaan sebelum ini untuk menyuarakan pelbagai isu yang berbangkit.

Katanya, sekretariat PN itu akan dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan dasar dan pelbagai isu yang menyentuh bidang ekonomi, alam sekitar, antarabangsa, pertahanan dan keselamatan negara.

“Disebabkan PN adalah baru, jadi orang bertanya, apakah DNA PN?

“Itu antara kita akan sebutkan,” katanya pada sidang media sempena Permukiman Ahli Dewan Rakyat PN di Kuala Lumpur hari ini.

“Kita akan bentangkan semua isu ini supaya rakyat tahu dan kita bersedia memikul amanah besar jika rakyat beri mandat untuk mentadbir negara.”

Berdasarkan senarai itu, Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin diberi portfolio kewangan dan ekonomi; Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan memegang portfolio dalam negeri manakala Saifuddin Abdullah yang merupakan ahli Parlimen Indera Mahkota dipertanggungjawabkan dengan portfolio pendidikan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz memegang portfolio pertahanan manakala Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Ahmad Yunus Hairi memegang portfolio kesihatan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN akan terus memperjuangkan “Dasar Kemakmuran Bersama” yang dibentangkan ketika mentadbir negara sebelum ini.

“Kita akan menguar-uarkan secara berterusan apa yang kita putuskan oleh parti dan kerajaan sebelum ini.

“Ia dibentangkan kerajaan terdahulu yang mana kita bentang RMK-12 dengan terasnya ialah Wawasan Kemakmuran Bersama,” tambahnya.