- Iklan -
Berita

Mampukah Mat Sabu selesaikan isu kekurangan bekalan makanan?

Sejak dilantik, beliau menerima kecaman hebat di media sosial ekoran masalah bekalan telur dan ayam yang berkurangan sehingga melonjakkan harga.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memeriksa lori yang penuh dengan lembu di Nilam Puri di Kota Bharu, 6 Januari. Gambar: Bernama
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memeriksa lori yang penuh dengan lembu di Nilam Puri di Kota Bharu, 6 Januari. Gambar: Bernama

Selepas kementerian pertanian dan keterjaminan makanan yang diketuai Mohamad Sabu menerima markah paling rendah dalam satu permukiman Kabinet baru-baru ini, persoalan timbul sama ada presiden Amanah mampu menggalas tugas sukar itu.

Sejak dilantik, Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu itu menerima kecaman hebat di media sosial ekoran masalah bekalan telur dan ayam yang berkurangan sehingga melonjakkan harga.

Bagaimanapun sebagai respons terhadap isu ini, Mohamad berkata markah itu merupakan kesinambungan sejak kepimpinan lalu dan berlaku sehingga hari ini.

Bagaimanapun, penganalisis memberikan pendapat berbeza mengenai situasi tersebut.

Menurut pakar ekonomi daripada badan pemikir Institut IRIS, Adilah Zafirah, markah itu melambangkan tiada kesungguhan dalam menyelesaikan isu kekurangan bekalan telur dan ayam.

"Menteri kurang tekad politik atau ‘political will’ hendak menangani masalah bekalan telur,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Di pihak rakyat pula, mereka memang tertekan dengan isu kekurangan telur dan kenaikan harga barang makanan yang sudah berlanjutan berbulan-bulan.”

Kementerian pertanian yang menguruskan keterjaminan makanan disifatkan antara kementerian yang paling dekat dengan rakyat.

Isu makanan, selain kos sara hidup, ialah isu yang mampu menumbangkan sebuah kerajaan jika tidak ditangani dengan baik.

Harga makanan seperti ayam dan telur menyaksikan kenaikan sejak dua tahun lalu sehingga memberi kesan kepada rakyat.

Menurut Adilah, menteri sebaiknya individu yang mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman yang bersesuaian dengan kementerian selain merupakan pakar dalam bidang tersebut.

Selain itu menurut Adilah, menteri masih perlu berunding dengan pakar-pakar daripada pelbagai latar belakang seperti ahli akademik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan untuk pelaksanaan dasar.

Katanya, walaupun menteri-menteri pertanian di negara lain yang mempunyai pendidikan dalam bidang itu, mereka tetap mempunyai pengalaman yang berkaitan.

"Menteri agrikultur Jepun merupakan graduan sekolah menengah namun mempunyai pengalaman dalam koperasi petani.

"Menteri pertanian Kanada mempunyai latar belakang pendidikan dalam ekonomi dan pengurusan alam sekitar. Di Indonesia dan Singapura, menterinya berlatar belakangkan undang-undang dan perakaunan."

Bagaimanapun menurut Adilah, ia merupakan satu permulaan yang baik apabila Mat Sabu mengakui punca-punca isu sekuriti makanan seperti kebergantungan kepada import, perubahan iklim dan lain-lain.

"Kelemahan atau cabaran yang paling besar adalah pelaksanaan dasar atau polisi itu. Implementasinya mengambil masa untuk memberi hasil seperti yang dirancang."

Ini merupakan kali kedua Mat Sabu menjadi menteri Kabinet.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Raja itu menjadi menteri pertahanan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sejak dilantik, antara tindakan awal Mat Sabu ialah membenarkan import telur daripada India bagi mengatasi kekurangan bekalan bahan itu dalam negara, walaupun Malaysia merupakan antara pengeksport telur terbesar dunia.

Bagi Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad, markah rendah itu ditujukan kepada pihak kementerian.

"Menteri-menteri yang dilantik sebelum ini juga tiada pengalaman dalam bidang pertanian seperti Salahudin Ayub dan Ronald Kiandee.

"Markah rendah itu tidak adil untuk dituju kepada menteri kerana beliau baru sahaja menerajui kementerian," katanya.

Katanya, ia menjadi cabaran untuk Mat Sabu dan kementerian untuk mengubah perkara itu.

Nurfitri berharap agar Mat Sabu dapat membuat perubahan dalam tempoh 100 hari pertama.