- Iklan -
Berita

Apa isyarat Rafizi untuk BN di Selangor?

Penganalisis berpendapat, Pakatan Harapan tidak mungkin memberikan peruntukan kerusi yang besar kepada Barisan Nasional pada pilihan raya negeri.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motosikal melalui deretan bendera yang dipasang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 di Tambun, 17 November 2022.
Penunggang motosikal melalui deretan bendera yang dipasang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 di Tambun, 17 November 2022.

Tumpuan politik negara kini beralih kepada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, yang akan menyaksikan sejauh mana kerjasama parti-parti membentuk kerajaan campuran diterima rakyat. 

Enam negeri itu ialah Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selari dengan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lepas.

Ramai pemimpin negeri sudah mula membayangkan tempoh pembubaran DUN.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menjangkakan pembubaran DUN pada Mei ini.

Di Selangor, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Pakatan Harapan (PH) selesa di 40 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu.

Perkara yang menjadi tumpuan pada PRN ini ialah pembahagian kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN).

BN Selangor baru-baru ini melahirkan keyakinan agihan kerusi akan dibuat secara adil antara PH dan BN.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pemerhati politik, Azizi Safar berkata Umno dan BN tidak mempunyai kelebihan untuk berunding dan mendapatkan lebih kerusi di negeri terkaya Malaysia itu.

"Umno lebih perlukan sokongan undi orang-orang bukan Melayu yang dibawa oleh parti-parti PH selepas ditolak oleh orang Melayu," tambahnya.

Menurut Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang, kenyataan Rafizi memberi isyarat bahawa PH tidak akan melepaskan kerusi-kerusi itu kepada BN.

"Isyaratnya, PH boleh kekal berkuasa di Selangor walaupun tanpa kerjasama dengan Umno dan BN."

Bahkan, gabungan itu turut dijangka mengekalkan kerusi mereka di Pulau Pinang.

PH masih mengekalkan penguasaan di negeri Selangor buat penggal yang ketiga selepas Pakatan Rakyat menawan negeri itu buat kali pertama pada 2008.

Kerjasama PH dan BN termeterai buat kali pertama di Pahang dan Perak serta di peringkat persekutuan pasca PRU15.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib berkata, Rafizi yang juga menteri ekonomi sudah tidak asing lagi dengan ramalan-ramalan kerusi yang dibuatnya.

"Ada masa ramalan itu sesuai, namun kebanyakannya tersasar.

“Rafizi pun tersasar dan tidak menduga Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam PRU15 lalu dan penolakan orang Melayu terhadap BN dan PH," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, ramalan Rafizi itu dilihat sebagai taktik meyakinkan pengundi sebagai persediaan gabungan itu memenangi hati pengundi.

Mengulas mengenai agihan kerusi, Kartini menambah percaturan politik di bawah “kerajaan perpaduan'” yang dicanang Perdana Menteri Anwar Ibrahim menuntut semua pihak dalam kerajaan untuk bekerjasama dan bertolak ansur.

Ini bagi mengelakkan risiko Umno dan BN menarik sokongan kepada PH di peringkat pusat.

Namun bagi Azizi, perkara itu mustahil kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak sanggup kehilangan jawatan timbalan perdana menteri.