- Iklan -
Berita

Ambiga bidas kerajaan PH selepas disiasat polis

Bekas presiden Majlis Peguam itu menyifatkan siasatan itu sebagai tuntutan daripada 'Umno-PH’.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.
Bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.

Bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan hari ini membidas Pakatan Harapan (PH) selepas beliau disoal siasat oleh polis mengenai kenyataan bekas peguam negara Tommy Thomas pada satu forum, September tahun lalu.

Thomas adalah salah seorang daripada beberapa ahli panel pada majlis itu, bersama Ambiga dan veteran DAP Lim Kit Siang. 

Beliau dilaporkan berkata "kerajaan Melayu" gagal, mengkritik dua pentadbiran selepas kejatuhan kerajaan PH.

Ambiga yang turut ditemani peguam Siti Kassim berkata, adalah "sangat jelas" siasatan itu merupakan tuntutan daripada "Umno-PH".

"Saya ulangi seruan saya kepada PH. Anda adalah kerajaan reformasi. Apa yang anda lakukan? Apakah agenda di sebalik semua ini? 

"Adakah anda setuju untuk menjadikan bekas peguam negara anda kambing hitam? Sila jelaskan dan bersikap jujur," katanya dalam video pendek di luar ibu pejabat polis Bukit Aman yang dimuat naik di Twitter hari ini.

PH bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus menamatkan kebuntuan politik melalui pembentukan kerajaan campuran yang diketuai Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Umno dan PH dikecam atas kerjasama mereka, dengan pengkritik menuduh kedua-dua pihak menjejaskan prinsip masing-masing.

PH pula diselar kerana bekerjasama dengan Umno yang dicemari skandal, dengan presidennya Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri dalam Kabinet Anwar.

Sementara itu Umno dikritik kerana bercanggah dengan pendirian lamanya iaitu "No Anwar, no DAP".

Dalam video pendek itu, Ambiga turut mempersoalkan siasatan polis, sambil mempersoalkan siapakah yang mengarahkannya.

“Saya ingin tanya PH, kerajaan reformis PH, adakah ini salah satu tuntutan Umno berhubung siasatan terhadap Tommy Thomas?"

"Adakah ia berkaitan dengan buku?" tambahnya, merujuk kepada memoir kontroversi Thomas bertajuk "My Story: Justice in the Wilderness".

"Bagi saya adalah jelas bahawa ia berkaitan dengan pertuduhan yang dikemukakan terhadap beberapa pemimpin Umno," kata Ambiga.

"Bagi saya, ini adalah penyalahgunaan kuasa sepenuhnya. Saya benar-benar ingin tahu daripada PH, apa lagi yang anda korbankan? Tolong beritahu kami. Apa lagi yang anda berikan kepada Umno?"