- Iklan -
Berita

Tommy Thomas bidas 'kerajaan Melayu' gagal

Bekas peguam negara itu menasihati PH tentang cara menghadapi PRU15.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AFP
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AFP

Bekas peguam negara Tommy Thomas menyelar dua pentadbiran kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020, mengatakan ia menunjukkan kegagalan kerajaan yang didominasi etnik Melayu.

Bercakap semasa forum di Kuala Lumpur baru-baru ini, Thomas berkata kerajaan yang mentadbir negara ketika ini menggambarkan konsep "ketuanan Melayu".

“Dalam tempoh dua tahun setengah, anda ada Kabinet yang didominasi oleh orang Melayu.

“Selepas dua tahun setengah itu, anda ada persoalan penting untuk diutarakan: Adakah kerajaan Melayu lebih efisien dan lebih baik?

“Biar betul! Mereka buat kerja yang begitu buruk dalam pentadbiran,” kata Thomas kepada kira-kira seratus hadirin di forum "Dark Forces Towards GE15" yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri DAP Lim Kit Siang dan bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan turut berucap pada majlis itu.

Thomas, yang berkhidmat sebagai peguam negara selama hampir 20 bulan sewaktu PH menjadi kerajaan, berkata beliau yakin orang Melayu sendiri turut akan bersetuju dengan apa yang diperkatakannya.

"Kerajaan Melayu telah gagal," katanya, sambil menambah ia harus menjadi naratif yang perlu diangkat oleh pembangkang dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kerajaan PH dilihat bergelut dalam soal  siapakah perdana menteri seterusnya bagi mewakili gabungan itu ketika ia mentadbir Putrajaya.

Kerajaan PH kemudiannya tumbang selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, diikuti tindakan Bersatu yang mengambil keputusan keluar dari PH.

Pada Mac 2020, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, disokong oleh ahli Parlimen Barisan Nasional, PAS dan GPS bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PN menjadi kerajaan selama 17 bulan sebelum Muhyiddin meletak jawatan sebagai perdana menteri selepas beberapa ahli parlimen Umno yang bersekutu dengan  Najib Razak menarik balik sokongan mereka.

Muhyiddin kemudiannya digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob dari Umno pada Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, Thomas, berkata kedua-dua kerajaan “sememangnya terpalit dalam aktiviti rasuah", meyakini jika PH menjadikan rasuah sebagai tema PRU akan datang, dapat membantu pembangkang kembali menguasai kerajaan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa PH akan kembali berkuasa pada PRU depan jika terdapat peratusan tinggi orang keluar mengundi.

"Jika anda boleh dapat 60% daripada mereka (pengundi muda) dan 80% daripada purata nasional, saya jamin akan ada kemenangan berulang pada PRU15 dan kita akan ada kerajaan baru."