- Iklan -
Berita

Tok Mat pertahan kerjasama Umno dengan DAP

Timbalan presiden Umno itu berkata naratif Umno anti DAP tidak meningkatkan sokongan orang Melayu kepada parti itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berdiri di atas pentas bersama ahli Majlis Kerja Tertinggi parti Pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 11 Januari.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berdiri di atas pentas bersama ahli Majlis Kerja Tertinggi parti Pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 11 Januari.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata sokongan orang Melayu-Islam terhadap parti itu terus merosot meskipun membawa naratif menentang DAP sejak berpuluh tahun lalu. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian bagi persidangan sayap pemuda, puteri dan wanita Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU22) di Kuala Lumpur, malam tadi. 

Di awal ucapannya, Mohamad memberitahu kepimpinan Umno semestinya menjelaskan setiap pendirian yang diambil khususnya semenjak beberapa minggu lalu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lepas. 

Terutamanya kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan baru di Putrajaya. 

Bercakap kepada para perwakilan yang hadir, Mohamad melontarkan persoalan sama ada pendirian Umno yang menentang DAP selama ini menyebabkan orang Melayu menyokong dan mengukuhkan lagi kedudukan parti tersebut? 

Katanya, jawapannya jelas boleh dilihat berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya umum lepas yang menunjukkan di sebalik cemuhan Umno terhadap DAP, sokongan orang Melayu tidak meningkat. 

"Malah merosot. 

"Kerana faktor yang mendorong orang Melayu menyokong atau menolak kita ternyata bukanlah (disebabkan) pendirian kita terhadap DAP," katanya. 

Sebaliknya, kata ahli Parlimen Rembau itu, ianya bergantung kepada kemampuan parti untuk menyakinkan orang Melayu bahawa kepentingan bangsa tetap boleh diperjuangkan dengan baik apabila dipimpin oleh Umno. 

"Termasuklah kerajaan yang kita pimpin itu bebas rasuah dan tiada penyalahgunaaan kuasa.

"Yang menjadi kayu ukur sokongan Melayu ialah integriti, tadbir urus kompetensi dan prestasi kita. 

Bukan kerana semata-mata kita menentang ideologo parti itu dan parti ini."

Pada persidangan PAU tahun lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti itu menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk kerjasama dengan PH dan Bersatu pada PRU15.

PAU21 juga memutuskan hubungan bersama Perikatan Nasional (PN). 

Selepas PRU15, Zahid berkata pendirian "No Anwar, No DAP” hanya sekadar strategi kempen pilihan raya dan bukannya untuk pasca pilihan raya. 

Sebelum pilihan raya diadakan, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin beberapa kali mengulangi Anwar dan Zahid akan berganding bahu untuk membentuk kerajaan campuran sekiranya Umno kekurangan sokongan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Bekas pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut menegaskan perkara yang sama mengenai kerjasama antara Anwar dan Zahid.