- Iklan -
Berita

KM umum rombakan Kabinet kerajaan Sabah

Hajiji Noor berkata rombakan tersebut perlu dibuat bagi mengukuhkan kerajaan negeri ketika ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Hajiji Noor hari ini mengumumkan rombakan Kabinet Sabah menyaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan dilantik timbalan ketua menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan negeri.

Kitingan, yang sebelum ini Timbalan Ketua Menteri II, menggantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin manakala Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joachim Gunsalam sebelum ini timbalan ketua menteri III, dilantik timbalan ketua menteri II.

Joachim juga dilantik menteri kerajaan tempatan dan perumahan manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Putatan Shahelmy Yahya daripada BN dilantik timbalan ketua menteri III merangkap menteri kerja raya iaitu portfolio disandang Bung Moktar sebelum ini.

“Rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang. Kami memerlukan satu pasukan kuat. Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan Adun dari Pakatan Harapan ke dalam Kabinet (Sabah).

“Kerajaan negeri berazam mempunyai pemimpin yang punya iltizam sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti diharapkan rakyat. Kestabilan politik adalah penting mencapai matlamat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.