- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak permohonan peguam untuk cabar kesahan pengampunan Anwar

Panel tiga hakim menolak permohonan Mohd Khairul Azam untuk mendapatkan kebenaran merayu selepas mendapati perkara itu kini bersifat akademik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Seorang peguam gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mencabar kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Anwar Ibrahim pada 2018.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara, menolak permohonan Mohd Khairul Azam untuk mendapatkan kebenaran merayu selepas mendapati perkara itu kini bersifat akademik.

“Mahkamah sebelum ini telah membuat dapatan fakta bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan mengikut Perlembagaan. Kami bersetuju bahawa soalan yang dicadangkan oleh pemohon (Mohd Khairul) tidak memenuhi keperluan ambang di bawah Seksyen 96(a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Isu ketidakwajaran telah diselesaikan dan tiada sebab untuk meninggalkan duluan undang-undang sedia ada,” kata ketua hakim negara ketika menyampaikan keputusan hari ini melalui prosiding dalam talian.

Panel itu turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan dan Vernon Ong Lam Kiat.