- Iklan -
Berita

Hajiji dakwa dapat sokongan 44 Adun Sabah

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu berkata beliau kekal sebagai ketua menteri dan kerajaan negeri masih utuh.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (tengah) bersama pemimpin parti Gabungan Rakyat Sabah, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional selepas mesyuarat di Sri Gata, Kota Kinabalu semalam. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (tengah) bersama pemimpin parti Gabungan Rakyat Sabah, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional selepas mesyuarat di Sri Gata, Kota Kinabalu semalam. Gambar: Bernama

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor hari ini mendakwa beliau telah memperoleh sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (Adun) Sabah daripada GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Hajiji berkata dengan sokongan itu kerajaan negeri Sabah sedia ada masih kekal serta utuh, dan beliau masih Ketua Menteri pada masa ini.

"Ini bermakna bahawa kerajaan (negeri) yang ada ini, saya pimpin ini, masih lagi utuh dan kuat, juga akan terus mentadbir negeri Sabah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau terdahulu menghadiri perjumpaan lebih sejam petang ini bersama 44 Adun Sabah di Kediaman Rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, Kota Kinabalu.

Turut hadir Pengerusi PH Sabah Christina Liew, naib presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) (PH) yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Shahelmey Yahya (BN), dan Setiausaha PAS Sabah Aliakbar Gulasan.

Seramai 29 daripada 44 Adun adalah dari GRS, PH (7), BN (5), PAS (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1) dan Bebas (1).

Menurut Hajiji beliau sudah menyerahkan akuan bersumpah kesemua Adun yang menyokongnya itu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu semalam.

Mengulas dakwaan kedudukan beliau sebagai ketua menteri tidak mengikut Perlembagaan Negeri Sabah, Hajiji berkata: "mengenai perlembagaan (negeri) ini, mana yang tidak puas hati, mereka boleh bawa ke mahkamah untuk buat keputusan".

Mengenai rombakan kabinet negeri, beliau berkata perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Shahelmy berkata keputusannya menyokong kerajaan negeri sedia ada dan Hajiji sebagai ketua menteri, adalah bagi memastikan kesinambungan pembangunan Sabah dapat diteruskan dengan berkesan demi rakyat.

“Ini bukan masanya untuk kita bertukar kerajaan atau bermain politik, rakyat perlukan kita. Pendirian saya kekal tidak bertukar apa-apa untuk rakyat kita," katanya.