- Iklan -
Berita

Menaikkan OPR tidak akan halang inflasi, kata pakar

Bank Negara meningkatkan kadar dasar semalaman beberapa kali tahun lepas kepada 2.75%, dan dijangka akan menaikkannya sebanyak dua kali lagi pada 2023.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan beratur untuk membeli bahan segar di pasar raya di Taman Kuchai, Kuala Lumpur.
Pelanggan beratur untuk membeli bahan segar di pasar raya di Taman Kuchai, Kuala Lumpur.

Seorang bekas jurubank memberi amaran bahawa sebarang langkah untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), yang dinaikkan bank pusat beberapa kali sejak tahun lepas, tidak akan menyelesaikan inflasi negara.

Muhammad Zahid Abdul Aziz yang sebelum ini bersama Bank Islam berkata tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) memanipulasi kadar OPR untuk tujuan tersebut adalah sia-sia. 

"Kita perlu sedar bahawa kita sedang beroperasi dalam sistem perbankan dan monetari yang bersifat cenderung ke arah inflasi,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Kedua, bank-bank bukanlah entiti neutral yang menggerakkan wang daripada unit surplus kepada unit defisit di dalam ekonomi.”

Inflasi secara umum merujuk kepada kenaikan dalam tahap harga umum barangan atau perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini memakluman kadar inflasi pada November tahun lalu kekal pada paras 4%. 

Katanya, ia perlu dikekang supaya tidak naik dalam masa terdekat. 

Ekoran pandemik Covid-19, BNM menurunkan kadar OPR bermula Januari 2020, untuk membantu peminjam yang terkesan. 

Kadar paling rendah dalam sejarah ialah 1.75% yang dibuat pada Julai tahun sama.

Namun ekonomi dunia berdepan cabaran inflasi dan kenaikan harga barang ekoran harga minyak sebanyak 50% yang mencecah AS$86.70 setong pada Oktober 2021.

Justeru, BNM menaikkan semula kadar OPR berkali-kali pada tahun lepas, atas alasan mengawal inflasi dan nilai matawang negara. 

Kali terakhir ia naik pada November lepas dengan kenaikan kepada 2.75%. 

Media melaporkan, BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak dua kali pada tahun ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu memaklumkan BNM mempunyai kuasa penuh menentukan kadar OPR, wlaupun sebelum ini beliau mengkritik bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika kenaikan OPR berlaku.

Menurut Zahid yang juga naib pengerusi Movemement For Monetary Justice,idea menaikkan kadar OPR bagi membendung inflasi menyebabkan syarikat akan berhenti meminjam dan membuang pekerja. 

Orang ramai akan kurang berbelanja, dan ini mengakibatkan penurunan harga barang. 

"Ia seperti mengalihkan rumah untuk menukar lampu."

Sementara itu, pakar ekonomi dari Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kadar inflasi di Malaysia dipengaruhi oleh subsidi pukal oleh kerajaan.

"Jika kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dan memperkasakan barangan tempatan, kadar inflasi dapat dikurangkan dan ringgit malaysia akan kukuh," katanya. 

Zahid mencadangkan agar inflasi dikekang dengan meminta bank menukarkan kadar pinjaman yang diberikan. 

Bank-bank ketika ini memberikan sedikit sahaja pinjaman kepada ekonomi sebenar dan kebanyakannya diberikan kepada pinjaman dan sektor peribadi. 

"Terbalikkan nisbah ini kepada 65% pinjaman untuk sektor ekonomi sebenar dan 35% kepada sektor peribadi. 

"Bukannya dengan memanipulasi kadar faedah supaya berlaku rantaian reaksi yang dimahukan."