- Iklan -
Berita

Mahkamah dengar rayuan berkait saman salah laku seksual terhadap PM pada 7 April

Muhammed Yusoff Rawther memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Anwar Ibrahim.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas pegawai penyelidik Muhammed Yusoff Rawther.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas pegawai penyelidik Muhammed Yusoff Rawther.

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan yang difailkan bekas staf Anwar Ibrahim pada 7 April depan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi membatalkan beberapa perenggan daripada pernyataan pembelaan perdana menteri itu berkait dakwaan serangan seksual yang difailkan pada Julai 2021.

Tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes semalam, di mana Anwar diwakili Navpreet Singh dan Muhammed Yusoff Rawther diwakili Mahajoth Singh.

Yusoff yang memfailkan saman terhadap Anwar selepas mendakwa diserang secara seksual empat tahun lalu, kini dalam usaha membatalkan beberapa perenggan daripada pernyataan pembelaan Anwar yang dikemukakan pada September 2021.

Beliau menuntut mahkamah membatalkan enam tuduhan yang dibuat dalam oleh Anwar dalam pernyataan pembelaannya , termasuk perkara yang berkait dua individu yang kini sudah meninggal dunia. 

Bagaimanapun, pada 9 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya dan memerintahkan supaya beliau membayar kos sebanyak RM3,500.

Yusoff memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu pada hari yang sama.

Dalam samannya, Yusoff berkata insiden serangan seksual tersebut berlaku di rumah Anwar yang terletak di Bukit Segambut kira-kira 10 hari sebelum pemimpin PKR itu memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018.

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya, selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk kerana menyebabkan beliau mengalami trauma dan gangguan fizikal, psikologi dan sosiologi akibat insiden tersebut.

Yusoff pertama kali membuat dakwaan terhadap Anwar dalam satu akuan berkanun pada November 2019, diikuti laporan polis.

Semasa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berkait jenayah mencabul kehormatan, polis menjalankan ujian poligraf selama empat jam di Bukit Aman. 

Bagaimanapun, Anwar enggan mengambil ujian tersebut.

Pada 14 Januari 2020, Jabatan Peguam Negara, yang ketika itu diketuai Tommy Thomas, berkata ia tidak akan mendakwa Anwar kerana "bukti yang tidak mencukupi" dan "percanggahan" fakta.