- Iklan -
Berita

Apakah 'politik kebajikan' Umno masih relevan selepas kalah PRU15?

Walaupun ada gesaan supaya hentikan amalan beri bantuan sebagai tukaran sokongan, namun penganalisis berkata budaya itu mungkin terus hidup.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan Wanita Umno krtika perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Kuala Lumpur.
Perwakilan Wanita Umno krtika perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Kuala Lumpur.

Prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri-negeri yang secara tradisinya didominasi parti Melayu telah mencetuskan persoalan mengenai politik "tabur bakti" yang telah lama dikaitkan dengan gabungan itu, terutama di kawasan luar bandar.

Amalan tabur bakti itu datang dalam bentuk bantuan, wang tunai atau sebaliknya, dengan harapan mendapat sokongan orang ramai sebagai balasan.

Ia juga menghidupkan budaya “warlord” apabila setiap pemimpin perlu mencari kekayaan peribadi bagi memastikan pengikut dikekalkan.

Namun apakah kesannya jika Umno tidak lagi memberi bantuan kepada penduduk di negeri-negeri yang dikuasa oleh parti lawan?

Bercakap kepada MalaysiaNow, pemerhati politik Azizi Safar berkata, “politik kebajikan” yang diamalkan Umno sekian lama di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman tidak lagi mendapat tempat di hati pengundi-pengundi.

"Ramai menganggap atau berpandangan ia bukan satu perbuatan kebaikan atau kebajikan dilakukan oleh Umno yang perlu dibalas dengan sokongan undi semasa pilihan raya.

"Namun begitu, membuat kenyataan bahawa Umno tidak lagi perlu membantu semua rakyat tanpa ambil kira parti mereka sokong atau undi, atau Umno hanya perlu membantu ahli sahaja, adalah sangat tidak wajar," katanya.

Bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang itu berkata tindakan menghentikan khidmat bakti akan memberikan kesan buruk kepada parti itu yang baru sahaja tewas besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

"Saki-baki rakyat yang masih mahu sokong Umno juga juga lari dan tidak akan undi calon-calon Umno."

BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen pada PRU15 lepas, paling rendah dalam sejarah gabungan itu.

Sementara itu, Mansor Mohd Noor dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, politik kebajikan akan sentiasa relevan untuk mengenal pasti ketidakseimbangan sosial. 

Apa yang ditolak rakyat ialah politik dedak untuk mendapat pengaruh dan undi.

Katanya, budaya politik masa kini sudah berubah apabila rakyat mengutamakan nilai seperti integriti dan tadbir urus. 

"PRU14 dan PRU15 membuktikan jika kepimpinan Umno gagal memahami budaya politik rakyat Malaysia termasuk Melayu sudah berubah.

"Pengundi Melayu sudah memiliki budaya kosmopolitan dan progresif tidak boleh menerima budaya politik kepimpinan yang gila dunia," katanya. 

Sementara itu, penganalisis politik Kartini Aboo Talib dari UKM berkata mereka yang tewas dalam pilihan raya boleh membantu secara ikhlas namun tidak wajib menggalas amanah tersebut. 

"Pemberian beras, pampers, hampers dengan maksud menghargai pengundi sudah menjadi amalan kebiasaan bukan hanya di Malaysia malah di kebanyakan negara yg mengamalkan demokrasi-kapitalis.

"Ia boleh dilihat di Amerika Syarikat apabila Presiden George Washington menghadiahkan sejumlah tong rum (barrels of rums). Presiden Fillipina, Ferdinand Marcos turut menghadiahkan sabun dan beras kepada pengundi," katanya. 

Namun kini politik kebajikan harus dilaksanakan dengan bantuan yang lebih sesuai dengan keperluan semasa. 

Dalam pada itu, Azizi berkata parti yang menentang Umno tidak perlu memberi sumbangan “pampers dan hamper” kepada rakyat, namun masih boleh dapat sokongan kuat.

"Mungkin juga pengundi-pengundi amal dwi-standard dalam hal ini," katanya.