- Iklan -
Berita

Menteri pernah dikecam kerana buat kenyataan tentang ayam kini nasihat Rafizi

Hasan Malek berkata sekarang masa Rafizi selesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan memberikan ayam segar pilihannya kepada penjual untuk dipotong di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Seorang pelanggan memberikan ayam segar pilihannya kepada penjual untuk dipotong di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Hampir sedekad lalu, seorang menteri pernah dikecam kerana nasihatnya yang meminta rakyat tidak memakan ayam sekiranya harga komoditi itu menjadi terlalu mahal.

Kini, Hasan Malek mempunyai kata nasihat buat Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, selepas kenyataannya minggu lalu yang hampir serupa dengan apa yang pernah dikatakan bekas menteri itu mengundang kecaman ramai.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Hasan turut menasihatkan menteri ekonomi itu supaya tidak "ambil hati" dengan kritikan yang dilontarkan dan harus menumpukan kepada tugasnya dalam menyelesaikan segala kesulitan yang dihadapi rakyat.

"Masa itu, dia (Rafizi) berada di pihak pembangkang jadi dia belum tahu dan menghayati tanggungjawab (menteri) yang menjaga hal ehwal pengguna,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Jadi, tidak mengapa. Baru dia tahu sekarang.”

Pada 2013, Hasan yang juga merupakan bekas ahli Parlimen Kuala Pilah dikecam teruk termasuk dari Rafizi apabila beliau menasihatkan rakyat supaya beralih kepada sumber protein lain ketika harga ayam meningkat.

Malah, kenyataannya supaya rakyat "elak makan ayam ketika harga naik" masih diguna pakai sehingga hari ini sebagai tanda menyindir mana-mana menteri yang mengeluarkan kenyataan atau membuat keputusan yang tidak memihak kepada pengguna.

Baru-baru ini, ramai pihak termasuk pakar ekonomi mengkritik Rafizi apabila mengeluarkan kenyataan "By right (sepatutnya), kalau harga ayam mahal, kurangkan makan ayam" pada sidang medianya, dan mereka turut menyamakan kenyataan itu dengan apa yang dikatakan oleh Hasan pada 2013.

Bagaimanapun, Hasan berkata beliau tidak berdendam dengan kritikan yang dibuat orang ramai.

"Jadi, Rafizi perlu terima kritikan rakyat, ini adalah lumrah menjadi menteri.

"Dia perlu cari jalan, jangan cakap saja, sebab semua orang boleh bercakap dan semua orang boleh beri pandangan tetapi realitinya tidak begitu," kata Hasan yang turut menyifatkan kritikan terhadap Rafizi tidak jauh beza dengan apa yang dialaminya sembilan tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia Saravanan Thambirajah berkata Rafizi tidak boleh sekadar memberi ulasan mengenai punca kenaikan harga ayam.

Sebaliknya, beliau berharap ahli Parlimen Pandan itu akan lebih fokus kepada usaha mencari jalan penyelesaian kerana itu apa yang dimahukan rakyat.

Walaupun beliau memuji inisiatif Rafizi yang cuba menerangkan mengenai kenaikan harga ayam dari sudut pandangan bekalan dan permintaan, namun keutamaan sekarang ialah memastikan bekalan tetap ada.

"Sebab itu kita memilih 222 ahli Parlimen untuk bantu selesaikan masalah yang dihadapi.

"Kalau ayam tiada di Malaysia, kami rakyat tak boleh import ayam dari negara lain, kerajaan yang boleh buat keputusan itu," tambah beliau.