- Iklan -
Berita

6 fasiliti kesihatan masih ditutup akibat banjir di Terengganu

Operasi klinik berkenaan telah dipindahkan ke fasiliti berdekatan supaya perkhidmatan serta rawatan kepada pesakit dapat diteruskan seperti biasa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota penyelamat memindahkan mangsa banjir di Kampung Pulau Rusa Hulu, Kuala Terengganu pada 19 Disember. Gambar: Bernama
Anggota penyelamat memindahkan mangsa banjir di Kampung Pulau Rusa Hulu, Kuala Terengganu pada 19 Disember. Gambar: Bernama

Sebanyak enam fasiliti kesihatan di Terengganu masih ditutup disebabkan banjir yang melanda pada 18 Disember lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Kasemani Embong berkata ia termasuk lima klinik desa (KD) di Besut serta satu di Dungun yang mengalami kerosakan teruk, dan memerlukan kerja-kerja pembaikan.

Beliau berkata operasi klinik berkenaan telah dipindahkan ke fasiliti berdekatan supaya perkhidmatan serta rawatan kepada pesakit dapat diteruskan seperti biasa.

"Di Besut KD yang terlibat ialah KD Alor Keladi; KD Tembila; KD Felda Tenang; KD Alor Lintah dan KD Bukit Payung manakala di Dungun, KD Kuala Jengal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

"KD Tembila; KD Felda Tenang; KD Alor Lintah dan KD Bukit Payung akan beroperasi kembali pada 1 Jan ini manakala bagi KD Alor Keladi dan KD Kuala Jengal pula, tarikh pengoperasian semula akan diumumkan kelak," tambahnya.

Sementara itu Kasemani berkata tiada wabak penyakit berjangkit dilaporkan berlaku di semua 315 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka dalam tempoh banjir, malah pihaknya juga telah menjalankan aktiviti kawalan pasca banjir di PPS serta lokaliti banjir bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit dan kawalan vektor.

"Bagi aktiviti kawalan vektor 3,788 premis telah diperiksa dan hanya satu premis didapati positif pembiakan nyamuk. Tiada kehadiran lipas, lalat dan tikus ditemui. Pengurusan sampah-sarap telah diuruskan dengan baik oleh komuniti setempat," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan makan dan minum daripada sumber yang tidak dimasak bagi mencegah penyakit bawaan air dan makanan. 

"Ibu bapa juga perlu mengawasi anak-anak daripada bermain air banjir kerana dikhuatiri tercemar dan terdedah kepada risiko penyakit berjangkit seperti cirit birit, kolera, tifoid dan leptospirosis.