- Iklan -
Berita

Tidak mustahil PN kembali jadi kerajaan, kata penganalisis

Mereka berkata pertukaran kerajaan adalah bergantung kepada tahap sokongan yang diterimanya di Dewan Rakyat, selain keputusan pada enam pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada tahun depan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Perikatan Nasional termasuk Pengerusinya, Muhyiddin Yassin meraikan keputusan PIlihan Raya Umum ke-15 di Shah Alam pada 20 November.
Pemimpin Perikatan Nasional termasuk Pengerusinya, Muhyiddin Yassin meraikan keputusan PIlihan Raya Umum ke-15 di Shah Alam pada 20 November.

Penganalisis berkata Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang untuk kembali berkuasa di peringkat persekutuan, walaupun gabungan yang memenangi jumlah kerusi kedua tertinggi pada pilihan raya umum baru-baru ini bertegas untuk menjadi pembangkang yang berwibawa.

Mereka memberitahu MalaysiaNow, usaha untuk mencapai hasrat itu tidaklah sukar seperti yang disangkakan kerana tiada parti politik atau mana-mana gabungan berjaya mendapatkan majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Kemelut politik yang menyebabkan Parlimen tergantung hanya selesai selepas hampir seminggu PRU15 selesai di mana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berjaya mendapat sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

Dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Hamzah Zainuddin yang menjadi ketua pembangkang menyatakan PN bukan saja bersedia menjadi pembangkang yang berwibawa tetapi juga bersedia untuk mengambil alih kerajaan apabila tiba waktunya.

Penganalisis politik dari University of Tasmania Australia James Chin berkata, situasi ini juga tidak terhad kepada PN kerana mana-mana parti boleh jadi kerajaan asalkan berjaya memperoleh sokongan yang jumlahnya mencukupi 112 kerusi Parlimen.

"Isu utama ialah sama ada mereka mampu meraih sokongan di Parlimen, tidak begitu sangat sentuh mengenai keupayaan (mentadbir negara).

"Jika melihat kepada pelantikan menteri sebelum ini, ada sahaja yang tidak layak untuk memegang portfolio menteri," kata Chin tanpa menamakan menteri-menteri itu.

Sementara Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir berkata trend pembentukan kerajaan gabungan mungkin akan berterusan pada masa hadapan ekoran perubahan landskap politik negara.

Katanya, ini bermakna sukar untuk mana-mana gabungan tunggal termasuk PN membentuk kerajaan dengan keupayaan sendiri dan perlu sekurang-kurangnya mendapatkan sokongan daripada blok Sabah dan Sarawak yang kini tampil sebagai entiti bebas.

"Justeru, sekarang ini tak semestinya parti yang menang besar boleh bentuk kerajaan. 

"Dalam erti kata lain, perlu mengambil kira situasi politik secara menyeluruh termasuk sokongan daripada parti kecil yang berjaya mendapatkan tempat di Parlimen," katanya kepada MalaysiaNow.

Keputusan PRU15 ini menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mendapat 82 kerusi, diikuti dengan PN merekodkan peningkatan ketara kepada 74 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) mencatatkan keputusan paling teruk dalam sejarah penubuhan gabungan itu apabila hanya mampu memperoleh 30 kerusi.

Sementara Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih 23 kerusi diikuti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat enam kerusi manakala lain-lain parti dan bebas memperoleh tujuh kerusi.

Menurut Chin dan Jeniri, langkah seterusnya untuk PN kembali menawan Putrajaya ialah menerusi pencapaian pilihan raya yang bakal berlangsung di enam negeri tahun depan.

Namun begitu, Jeniri berkata, PN mampu mendapatkan sokongan yang lebih kukuh sekiranya bertindak sebagai pembangkang yang berwibawa di Dewan Rakyat buat masa  ini dan terus mengetengahkan isu yang dekat di hati pengundi Melayu.

"Tetapi ini bukan satu tugas yang mudah memandangkan BN dan PKR kini berada di pihak kerajaan yang memiliki segala sumber dan rangkaian untuk membantu rakyat," tambah Jeniri.

Bagaimanapun, Chin berkata, PN yang dilihat mensasarkan kejayaan di empat daripada enam negeri, mampu berbuat demikian sekiranya berjaya mengulangi "gelombang hijau" yang disaksikan pada PRU15.

Katanya, dua negeri yang mungkin dianggap susah bagi PN ialah Pulau Pinang dan Selangor manakala empat lagi negeri yang dilihat mampu ditawan ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan.

"Jika gelombang hijau berulang, maka ini adalah satu masalah besar bagi PH," kata Chin.