- Iklan -
Berita

Sosma boleh disalahgunakan, Kit Siang ingatkan kerajaan Anwar

Veteran DAP itu menggesa kerajaan untuk meneruskan proses yang telah dimulakan kerajaan sebelum ini dalam usaha meminda undang-undang kontroversi yang memberi kuasa luas kepada polis.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama
Veteran DAP Lim Kit Siang. Gambar: Bernama

Bekas pengerusi DAP Lim Kit Siang hari ini menjadi pemimpin terbaru menolak keputusan kerajaan yang tidak mahu mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya memberi keutamaan mengenai reformasi undang-undang bagi menghapuskan penyalahgunaan undang-undang kontroversi tersebut.

Dalam sebuah kenyataan, Lim membangkitkan perkara itu susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang sebelum dilihat membela undang-undang tersebut, mengatakan salah guna Sosma adalah alasan mengapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mengundi untuk menentang lanjutan Subseksyen 4(5) Sosma pada Julai lalu.

Lim menyenaraikan beberapa kes berkait Sosma yang digunakan terhadap ahli politik termasuk penahanan bekas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan pemimpin Pejuang Khairuddin Abu Hassan, mengatakan pembaharuan undang-undang perlu diutamakan bagi memastikan penyalahgunaannya “tidak berulang lagi”.

Beliau turut mengingatkan kerajaan bahawa bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin turut bersetuju dengan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bahawa wujud peruntukan dan klausa yang tidak adil di dalam akta tersebut.

“Kerajaan Anwar perlu menyelesaikan sesi libat urus mengenai penghapusan peruntukan zalim dalam Sosma yang dimulakan oleh pentadbiran Ismail Sabri Yaakob ini dan bentangkan pindaan-pindaan yang perlu ke Parlimen dalam sidang bulan Februari untuk mengelakkan dari berulangnya salah guna Sosma yang pernah berlaku sebelum ini.”

Pertikaian berhubung Sosma timbul selepas kenyataan Saifuddin pada 13 Disember lalu yang mengatakan pihaknya tidak berhasrat untuk mengkaji semula undang-undang itu.

Walaupun digesa mempertimbangkan semula pendirian itu oleh pemimpin PH dari DAP, Gobind Singh Deo, namun Saifuddin tetap bertegas dengan pendiriannya.

Beliau berkata Sosma membenarkan proses mahkamah berlaku, selain membandingkannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengatakan di bawah Sosma, tempoh tahanan "hanya 28 hari".

Beliau juga berkata bahawa tangkapan di bawah Sosma hanya dilakukan selepas proses "risikan dan bukti yang boleh dipercayai".

Bagaimanapun, beliau kemudiannya mengakui bahawa terdapat beberapa bahagian dan klausa dalam Sosma yang perlu dipinda dan dikaji oleh kementerian dalam negeri.

"Dalam Sosma ini, memang ada beberapa seksyen dan fasal-fasal tertentu yang tidak boleh kekal selama-lamanya dan perlu diberi pertimbangan sewajarnya dari masa ke masa. 

“Tetapi ketika ini, saya kata tidak, sebab saya baru dua minggu di sini (KDN),” katanya kepada pemberita pada 15 Disember.

Pendirian itu menimbulkan kemarahan aktivis hak asasi manusia selain turut mengundang kritikan daripada penyokong kerajaan, yang mengingatkan PH supaya konsisten.

"Apabila berdepan dengan perundangan yang bersifat menindas, perbincangan mesti diadakan dan pandangan-pandangan yang berbeza perlu dipertimbangkan dan bergerak ke hadapan selaras dengan desakan kita untuk melakukan pembaharuan," kata Gobind yang merupakan ahli Parlimen Damansara.