- Iklan -
Berita

Lebih 7,000 hektar tanah di Perak diceroboh dengan aktiviti haram, kata Saarani

Menteri besar Perak berkata aktiviti pertanian mencatatkan pencerobohan tertinggi melibatkan lebih 7,300 hektar tanah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad. Gambar: Bernama
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad. Gambar: Bernama

Sejumlah 7,872.71 hektar tanah iaitu 0.38% daripada 2.09 juta hektar keluasan tanah di Perak telah diceroboh, dengan pelbagai aktiviti tanpa kebenaran dijalankan di kawasan berkanaan.

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata aktiviti pertanian mencatatkan pencerobohan tertinggi melibatkan 7,307.59 hektar tanah atau 92.82%.

“Sebanyak 400.09 hektar tanah pula dilaporkan digunakan secara tidak sah untuk aktiviti penternakan dan perusahaan, serta baki 165.03 hektar digunakan untuk tujuan pembangunan kediaman iaitu petempatan setinggan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) yang ingin tahu mengenai keluasan tanah di Perak yang telah dikenal pasti diceroboh oleh pihak tertentu mengikut klasifikasi dan jenis pembangunan atau aktiviti pencerobohan di atas tanah berkenaan.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata pihak berkuasa negeri telah mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Usaha Haram dan Setinggan Negeri Perak.

Menurutnya jawatankuasa itu bersidang setiap suku tahun bagi memantau dan mengenal pasti aktiviti haram serta setinggan di atas tanah milik kerajaan negeri, di samping melaksanakan tindakan-tindakan punitif bagi membanteras aktiviti pencerobohan tanah daripada terus berleluasa.

Beliau berkata terdapat dasar penyelesaian pendudukan setinggan kediaman di atas tanah kerajaan yang telah diluluskan melalui beberapa kaedah pelupusan tanah seperti pemberi milikan tanah kerajaan, pajakan tanah rizab dan pemberian Lesen Pendudukan Sementara serta pelaksanaan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

“Dasar ini memperuntukan tempoh pelaksanaan penyelesaian petempatan setinggan dalam tempoh lima tahun. Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif tambahan dalam menyelesaikan isu penerokaan haram di atas tanah kerajaan antaranya, pemutihan tanah kerajaan melalui agensi.

“Tujuan inisiatif ini adalah untuk memberi milik mana-mana tanah kerajaan negeri yang diteroka dengan aktiviti pertanian dan penternakan kepada pihak agensi dan perbadanan negeri untuk dipajak sewa kepada peneroka-peneroka bagi membolehkan aktiviti mereka diteruskan seperti biasa,” katanya.

Saarani berkata analisis data menunjukkan dari tahun 2018 hingga tahun lepas, sebanyak 5,959.74 hektar tanah kerajaan yang diteroka oleh peneroka haram telah diberi milik kepada pelbagai agensi dan perbadanan milik kerajaan.

Katanya daripada jumlah itu 3,930.79 hektar telah disewa atau dipajak kepada peneroka berkenaan, 700.92 hektar telah dilaksanakan tindakan penguatkuasaan dan baki 1,328.03 hektar di dalam perancangan untuk pembangunan, penyewaan atau pajakan kepada peneroka haram.