- Iklan -
Berita

Beri peruntukan untuk Bernas bantu pesawah secara terus, kata pemain industri

Pemain industri berkata insentif berasaskan pengeluaran akan lebih baik bagi bagi meningkatkan produktiviti berbanding subsidi input.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Serang pesawah padi menyembur racun pada tanaman padi di Kampung ALor Senibong, Langgar, Kedah.
Serang pesawah padi menyembur racun pada tanaman padi di Kampung ALor Senibong, Langgar, Kedah.

Meskipun pemberian bantuan one-off RM10 juta tahun kepada kepada golongan pesawah disambut baik, permasalahan yang dihadapi golongan itu di perlu dilihat secara menyeluruh dalam membantu kebajikan mereka tatkala isu kedaifan masih membelenggu industri pertanian negara. 

Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad berkata, pemberian itu merupakan tanggungjawab Padiberas Nasional (Bernas) yang sudah lama tertangguh, kerana syarikat itu disyaratkan dengan tanggungjawab sosial yang belum dilaksanakan. 

"Bagaimanapun, pesawah masih belum dimaklumkan bagaimana dana ini akan disalurkan sama ada secara tunai terus kepada petani atau melalui program-program pembangunan ini," katanya kepada MalaysiaNow. 

Beliau mengulas tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Bernas membayar RM10 juta kepada pesawah pada tahun ini, dan RM50 juta tahun hadapan.

Tanggungjawab sosial yang dimaksudkan termasuklah dana untuk tabung bencana, bekalan jentera, mekanisasi, pembangunan pangkalan data pesawah dan dana bekalan stok penimbal benih padi. 

Bernas dikenali sebagai Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sebelum diswastakan pada tahun 1994 menjadi Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Ia mengawal industri padi tempatan dan import beras asing. 

Pemegang saham terbesarnya merupakan tokoh korporat, Syed Mokhtar Albukhary.

Tey Yeong Shen, penyelidik kanan dari Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, ketika ini masih belum jelas bagaimana RM0 juta itu akan dimanfaatkan.

"Jika ia akan dipulangkan kepada pesawah, insentif berorientasikan pengeluaran lebih baik untuk meningkatkan produktiviti berbanding subsidi input," katanya. 

Mengulas mengenai permasalahan industri padi, katanya dari segi polisi langkah-langkah perlindungan seperti kawalan harga dan subsidi input menyumbang kepada kesan yang tidak dijangka. 

Ia termasuklah pengeluaran yang tidak meningkat (stagnated yields), kurang persaingan dan inovasi, dan nilai tambah yang rendah selain pembangunan usahawan yang kecil dan sederhana yang terbantut.

"Menyingkirkan (langkah perlindungan) terus mungkin tidak dapat dilaksanakan dari segi politik dan sosial. 

“Kita memerlukan pendekatan pendaratan lembut yang bersifat peralihan ke arah merealisasikan langkah-langkah progresif, contohnya insentif berasaskan pengeluaran," tambahnya. 

Sementara itu, Nurfitri berkata masalah industri padi boleh dilihat dari dua segi, iaitu masalah pasaran dan penghasilan. 

Katanya, pesawah semakin lama semakin hilang kuasa mendesak (bargaining power) kerana jumlah kilang padi semakin kurang.

"Pesawah yang menuai padi tidak ada banyak pilihan untuk menjual padi kerana di satu-satu kawasan, hanya ada satu atau dua kilang. 

“Ini menyebabkan pesawah terpaksa menerima apa sahaja harga padi yang ditawarkan dan potongan pemutuan (potongan berat bersih) yang dikenakan oleh pengilang," katanya. 

Jumlah kilang pula berkurangan kerana monopoli oleh pemborong dan pengilang yang merupakan syarikat kerjasama Bernas yang “membunuh” kilang-kilang lain. 

Selain itu, golongan pesawah katanya wajar mendapat kebebasan menentukan pilihan benih, baja dan sistem tanaman sama ada konvensional atau alternatif. 

"Oleh itu, subsidi harus diberikan terus kepada petani dan bukan kepada vendor-vendor pembekal. 

“Pasaran input-input pertanian ini mesti dibuka supaya wujud persaingan. 

“Harga dan kualiti akan menjadi berpatutan," tambahnya.