- Iklan -
Berita

Banjir dijangka berlaku di Mersing, Johor Bahru

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran bencana itu diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa yang dijangkakan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak menggunakan plastik untuk berlindung daripada air hujan di Pasar Manir, Kuala Terengganu. Gambar: Bernama
Kanak-kanak menggunakan plastik untuk berlindung daripada air hujan di Pasar Manir, Kuala Terengganu. Gambar: Bernama

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan berlaku banjir di Sungai Melikai dan kawasan sekitarnya di daerah Mersing bermula 12 tengah hari.

Menerusi amaran banjir yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS pada 9 pagi ini, jabatan berkenaan memaklumkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan (bahaya) oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada 10 malam tadi dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Menurut JPS bencana itu diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa yang dijangkakan.

“Bagi daerah Johor Bahru pula diramalkan banjir pada Rabu ini bermula 9 malam melibatkan Kampung Kangkar, Sungai Tiram dan kawasan sekitarnya. 

“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” katanya.

Sementara itu, dua sungai di daerah Segamat iaitu Sungai Lenik (Ladang Chaah) dan Sungai Muar (Buloh Kasap) menunjukkan paras air berada pada paras amaran, setakat 8.15 pagi tadi. 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai diminta melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.