- Iklan -
Berita

Menteri pendidikan ikrar jadikan persekitaran ‘ceria, bahagia’ untuk murid, warga KPM

KPM juga akan meneruskan dasar-dasar pendidikan kerajaan terdahulu, pada masa sama menambah baik kelemahan yang ada.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada sidang media pertama di Kementerian Pendidikan, Putrajaya hari ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada sidang media pertama di Kementerian Pendidikan, Putrajaya hari ini.

Menteri Pendidkan Fadhlina Sidek hari ini berikrar untuk memastikan persekitaran murid yang ceria, guru bahagia dan sekolah bitara, mengatakan ia menjadi keutamaan kementeriannya dalam ucapan sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah menerajui Kementerian Pendidikan (KPM). 

Diiringi Timbalannya, Lim Hui Ying, Fadlina menegaskan KPM akan mendapatkan pandangan semua pihak bagi mencapai hasrat tersebut.

"KPM akan mempertingkatkan kerjasama dengan semua pihak seperti Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) serta pihak berkepentingan lain untuk mendapatkan pandangan serta input bagi memastikan hasrat ini tercapai," katanya pada sidang media khas di Putrajaya. 

Fadhlina memaklumkan selepas tempoh satu minggu mendengar taklimat daripada barisan pengurusan KPM, beliau berkata pihaknya akan meneruskan dasar-dasar sedia ada kerajaan terdahulu. 

Bagaimanapun, katanya, KPM akan meneliti beberapa penambahbaikan dari aspek proses penyampaian dan perkhidmatan pendidikan.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pengaktifan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996. 

Menurutnya, dengan MPPK, ia diharapkan dapat menyumbang idea dan pandangan kepada KPM dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara. 

"Perkara ini termasuklah memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada tahun 2025." 

Fadhlina yang juga ketua Wanita PKR dinamakan dalam senarai Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Sementara Lim dinamakan sebagai timbalan menteri. 

Pengenalan tujuh teras utama 

Mengulas lanjut, Fadhlina menyedari cabaran ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi turut memberi impak kepada  warga pendidikan. 

Atas sebab itu, KPM akan memastikan pelbagai inisiatif yang disediakan akan dikekalkan atau ditambah baik mengikut keperluan. 

Hal ini turut melibatkan tujuh teras utama iaitu yang diperkenalkan termasuk menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus, memberikan penekanan kepada aspek karamah insaniah, memberi perhatian kepada isu kemiskinan keluarga B40. 

"Termasuklah dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran. 

"Saya akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar." 

Antara teras lain adalah berkait isu keciciran, kebajikan guru, tumpuan kepada usaha menaik taraf sekolah daif dan meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah-sekolah.  

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi