- Iklan -
Berita

Kerajaan tamatkan perkhidmatan lantikan politik dalam badan berkanun, GLC

Penamatan perkhidmatan semua lantikan politik itu diarahkan supaya dilakukan dengan kadar segera.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali. Gambar: Bernama
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali. Gambar: Bernama

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam memutuskan supaya lantikan politik dalam badan berkanun, syarikat Kementerian Kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan ditamatkan perkhidmatan secara serta merta.

Dalam sebuah pekeliling ringkas kepada ketua setiausaha kementerian yang dilihat MalaysiaNow, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata arahan ini perlu dilaksanakan dengan segera.

“Jemaah menteri dan mesyuarat jemaah menteri pada 14 Disember 2022 telah memutuskan supaya pengerusi dan ahli lembaga pengarah bagi badan berkanun persekutuan/ syarikat menteri kewangan (diperbadankan)/ syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan lantikan politik untuk ditamatkan dengan segera,” kata Zuki dalam pekeliling itu.

Sebelum ini, kerajaan diketuai Pakatan Harapan (PH) itu turut menamatkan perkhidmatan pemimpin tertinggi kerajaan.

Ini termasuk, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidin yang dicutikan dari Kementerian Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah yang “dibersarakan”.

Susulan tindakan ke atasnya, Shafiq dalam sebuah kenyataan, menyelar kempen memburukkan reputasi beliau dan mengatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam “menganiaya” beliau.

Sejak mengambil alih pentadbiran, Anwar mengambil langkah drastik dalam pembentukan Kabinet dengan keanggotaan “lebih kecil” dengan dua timbalan Ahmad Zahid Hamidi dari Umno dan Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak.

Keputusan menamatkan perkhidmatan lantikan politik hari ini dilihat sebagai usahanya untuk mengukuhkan peralihan pentadbiran selepas PH berjaya membentuk kerajaan bersama musuh tradisinya Barisan Nasional (BN) selain parti-parti politik dari Sarawak dan Sabah.