- Iklan -
Berita

Kerajaan luluskan peruntukan RM30 juta untuk kamera badan polis

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata ketika ini proses perolehan sedang dilaksanakan dan berharap tiada sebarang masalah untuk mendapatkan kamera badan berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam negeri Saifuddin Nasution (tengah) bercakap pada sidang media di ibu pejabar Polis Bukit Aman sambil diiringi timbalan menteri Shamsul Anuar Nasarah (kiri) dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama

Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi perolehan kamera badan untuk kegunaan anggota polis ketika menjalankan tugas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata ketika ini proses perolehan sedang dilaksanakan dan berharap tiada sebarang masalah untuk mendapatkan kamera badan berkenaan.

"Saya harap perolehan ini dapat disegerakan memandangkan ia merupakan satu keperluan pada masa kini dan telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian untuk tindakan susulan," katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 Saifuddin berkata ia akan berkuat kuasa Jun tahun depan.

Rang Undang-undang berkenaan diluluskan pada 26 Julai lepas bertujuan mempertingkatkan integriti, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan itu.

Mengenai persiapan banjir terutama di negeri-negeri pantai timur, Saifuddin berkata polis telah bersiap sedia sepenuhnya termasuk daripada aspek aset untuk memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara.

Menurut beliau 18,170 anggota PDRM telah diatur tugas bagi menghadapi musim monsun kali ini.